KUALA LUMPUR 28 Okt - Nilai kontrak pembinaan Gamuda Bhd. kini meningkat kepada RM15 bilion setelah kumpulan memperoleh projek landasan kereta api bawah tanah di Taiwan bernilai RM2.13 bilion.
RHB Research menjangkakan projek itu akan menyumbang margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 8% hingga 10%, menyamai projek luar negaranya yang lain di Australia tetapi secara amnya lebih rendah daripada projeknya di Malaysia.
Menurutnya, perolehan itu juga adalah kontrak pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23) menjadikan jumlah projek di Taiwan setakat ini kepada lima dengan nilai kontrak RM2.3 bilion.
Katanya, Gamuda sebelum ini pernah terlibat dalam projek Transit Aliran Massa Metropolitan Kaohsiung antara 2002 dan 2008.
"Bagaimanapun, kami tetapi berhati-hati terhadap industri pembinaan di Taiwan yang menghadapi kekurangan buruh yang teruk hingga menyebabkan kelewatan projek infrastruktur utama menurut artikel yang diterbitkan oleh Taipei Times pada Oktober lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Gamuda raih kontrak bina landasan kereta api bawah tanah di Taiwan bernilai RM2.13 bilion
Semalam, Gamuda mengumumkan memperoleh kontrak pembinaan bagi projek kereta api bawah tanah sepanjang 3.734 kilometer (km) di Taiwan bersama Asia World Engineering & Construction Co. (AWEC).
Kontrak tersebut akan memakan masa selama lapan tahun dijangka menyumbang sebanyak RM1.28 bilion kepada hasil Gamuda.
Menurut RHB, perolehan tersebut adalah memenuhi jangkaan penambahan nilai kontrak bagi FY23 sebanyak RM13.5 bilion, sejajar dengan unjuran yang dibuat pengurusan antara RM12 hingga RM15 bilion.
Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Gamuda dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.83 sesaham.
Firma itu berkata, selain projek MRT3, Gamuda juga dijangka memperoleh projek lebuh raya North-East Link dan Suburban Rail Loop di Melbourne, Australia.
"Tender dijangka dikeluarkan pada suku keempat 2022 dengan keputusan akan diketahui dalam separuh pertama 2023. Bagaimanapun, kami menandai risiko pelaksanaan kerana Gamuda agak baharu di Australia," jelasnya.
Setakat 10.18 pagi, harga saham Gamuda susut 4 sen atau 1.02% kepada RM3.89 dengan 199,200 saham diniagakan. - DagangNews.com