Nilai projek Pentamaster mencecah RM230 juta | DagangNews Skip to main content

Nilai projek Pentamaster mencecah RM230 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Nilai projek atau pesanan buku yang dicatatkan oleh syarikat teknologi, Pentamaster Corporation Berhad berlegar pada paras RM230 juta setakat kelmarin, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Angka itu diperoleh, selepas CGS-CIMB mengadakan taklimat secara maya dengan Ketua Pegawai Kewangan Pentamaster, Julia Gan serta Pengarahnya, Leng Kean Yong. 

 

“Amat menggalakkan apabila mengetahui pesanan yang diisi semula menunjukkan prestasi baik terutamanya daripada penyelesaian ujian sensor magnetometer 3D baharunya dan penguji cip modul kuasa untuk kenderaan elektrik (EV). 

 

“Walaupun impak kekurangan cip dan kos bahan mentah yang lebih tinggi masih berterusan, namun kumpulan itu optimis jualan akan lebih kukuh dan perolehan memulih bermula suku kedua 2021 (2Q21) dan seterusnya. 

 

“...Dipacu oleh penambahbaikan dalam campuran jualan ke arah penyelesaian margin lebih tinggi bagi segmen elektro-optik dan automotif,” jelas penganalisis di CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam dalam satu nota kajian. 

 

Dalam pada itu, kumpulan berkenaan difahamkan sedang melabur RM25 juta untuk membangunkan kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan tambahan kawasan 100,000 kaki persegi (sqft) untuk menyokong penyelesaian automasi kilang dan pengembangan segmen peranti perubatannya bermula tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Bagi isu kekurangan cip pula, Mohd. Shanaz berkata, Pentamaster kekal optimis bahawa situasi itu tidak akan menjejaskan pemulihan perolehannya bagi FY21. 

 

Kumpulan itu juga memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk anak syarikat, Pentamaster MediQ bagi tahun ini dan menyasarkan sumbangan hasil pertama menjelang separuh kedua 2022 (2H22), ujar Mohd. Shanaz.

 

Katanya, kumpulan itu terus positif terhadap segmen peranti perubatannya di mana mengunjurkan sumbangan sehingga 30% ke dalam hasil Pentamaster pada FY23.

 

“Kami mengekalkan unjuran perolehan. Kekal ‘tambah’ sahamnya dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.85, masih berdasarkan nisbah harga kepada perolehan (P/E) 36x CY22, +0.5 sisihan piawai melebihi min sektor,” jelas Mohd. Shanaz. 

 

Setakat 10.51 pagi, harga saham Pentamaster meningkat 10 sen kepada RM4.83. - DagangNews.com