Ninja Van Malaysia buka gudang baharu terbesar di Shah Alam | DagangNews Skip to main content

Ninja Van Malaysia buka gudang baharu terbesar di Shah Alam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Syarikat logistik ekspres negara, Ninja Van Malaysia memperkenalkan gudang terbesar baharunya di Shah Alam, yang merangkumi kawasan 260,000 kaki persegi.

 

Pembukaan gudang itu sejajar rancangan pengembangan syarikat untuk memperkukuh pertumbuhan jumlah bungkusan yang perlu dikendalikan, selain menyokong perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Adzim Halim berkata, pihaknya sentiasa berinovasi dan membangunkan infrastruktur lebih baik bagi meningkatkan kepantasan serta kecekapan.

 

"Dilengkapi teknologi penyusunan dan peralatan terkini, gudang baharu kami bertepatan dengan rancangan syarikat untuk memberikan penghantaran pantas kepada pelanggan.

 

"Disebabkan itu juga, baru-baru ini kami memulakan penjadualan operasi tujuh hari seminggu di seluruh negara," katanya dalam kenyataan.

 


Dengan pertambahan lebih 80 peratus jumlah kenderaannya, langkah untuk memperkukuh budaya selamat di gudang itu turut menjadi sebahagian penting perniagaan Ninja Van Malaysia.

 

Sehubungan itu, syarikat mengambil langkah konkrit untuk memastikan pekerja mempunyai persekitaran kerja selamat dan sentiasa berusaha menambah baik tahap keselamatan di tempat kerja.

 

Sebagai contoh, program induksi kesihatan, keselamatan dan persekitaran dijalankan setiap minggu bagi memastikan semua pekerja dilengkapi pengetahuan untuk mengendalikan sebarang kes kecemasan di tempat kerja.

 

Ninja Van Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan kukuh jumlah bungkusan yang dikendalikan sejak penubuhannya pada 2015.

 

Tahun lalu, syarikat mencatatkan kenaikan 98 peratus jumlah bungkusan berbanding 2020 berikutan pertumbuhan pesat melalui platform e-dagang.

 

Gudang baharu itu menampilkan pelbagai peralatan teknologi inovatif yang berupaya memproses 400,000 bungkusan setiap hari dari seluruh negara, sejajar sasaran Ninja Van Malaysia untuk meningkatkan tahap kecemerlangan operasinya.

 

Jumlah bungkusan boleh meningkat sehingga dua kali ganda pada tempoh kemuncak.

 

Bagi menampung permintaan e-dagang, Ninja Van Malaysia melabur dalam peralatan teknologi canggih seperti mesin pengimbas dan penimbang dimensi (DWS) yang diguna bagi membuat imbasan dan kiraan tepat berat serta dimensi bungkusan, selain penghantar automatik.

 

Bagi proses penyusunan, pekerja gudang itu menggunakan pengimbas mudah alih pelbagai guna.

 

Adzim berkata, gudang syarikat ketika ini mengendalikan mod hibrid secara manual-automatik yang turut mencerminkan Dasar 4IR Nasional dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia, dengan teknologi disediakan boleh membina proses yang lebih lancar dan cekap.

 

"Dengan mesin bekerja bersama kakitangan, kami berupaya membina proses lebih lancar dan cekap, memastikan supaya bungkusan dihantar kepada pelanggan tepat pada masanya," katanya.

 

Ninja Van Malaysia turut memperkenalkan produk dan proses awan baharu bagi menyelesaikan isu berkaitan bungkusan dengan lebih cepat.

 

Satu daripadanya adalah NinjaChat, platform berasaskan pesanan sosial dengan fungsi sembang masa sebenar yang menyediakan kaedah mudah serta pantas kepada pelanggan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan bungkusan mereka. - DagangNews.com