KUALA LUMPUR 29 Nov - Pembangunan bersepadu pertama ParkCity Group di Desa ParkCity di sini meraih sambutan menggalakkan selepas mencatatkan 73% kadar jualan unit kediaman yang ditawarkan menerusi majlis 'Priority Sales' yang berlangsung pada 26 dan 27 November lalu.
Noöra, projek bertemakan Scandinavian ternyata mendapat perhatian positif apabila pembeli berpotensi sanggup berbaris seawal jam 4 petang, sehari sebelum majlis Priority Sales berlangsung untuk pelanggan yang telah mendaftarkan minat mereka sebelum ini.
Senario sama yang turut berlaku pada pelancaran projek sebelum ini di Desa ParkCity itu, jelas membuktikan populariti berterusan perbandaran berkenaan dalam kalangan pembeli dan pelabur hartanah.
Noöra merupakan pembangunan yang terletak di plot tanah berstatus pegangan bebas seluas 6.63 ekar di kawasan selatan pinggir Desa ParkCity.
Dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion, projek pembangunan itu merangkumi 1,156 suite kediaman yang dibahagikan dengan dua menara berketinggian 52-tingkat, selain ditawarkan dengan podium runcit berkeluasan 50,000 kaki persegi.
Disasarkan untuk penghuni milenium bujang dan keluarga muda, suite kediaman yang ditawarkan adalah berkeluasan dari 520 kaki persegi hingga 1,282 kaki persegi, manakala harganya pula bermula RM900 hingga RM1,000 bagi setiap kaki persegi.
Bagi komponen runcit yang dikenali sebagai Noöra Walk pula, ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh ParkCity bagi menawarkan pengalaman runcit lebih tersusun menerusi penawaran ruang kerja bersama, studio kecergasan, kedai makanan dan minuman (F&B), kedai runcit serta cadangan perkhidmatan gaya hidup lain.
Ia merupakan tawaran kemudahan tambahan kepada penduduk Noöra, di samping kemudahan lain yang lebih meluas yang terdapat dalam Desa ParkCity.
Ketua Pegawai Eksekutif ParkCity Group, Datuk Joseph Lau berkata, berikutan pengalaman pandemik COVID-19, kebanyakan menyedari apa yang penting dalam hidup bukanlah berkaitan dengan kepentingan diri sendiri semata-mata.
"Keutamaan kami telah berubah dan kini kita lebih menghargai kehidupan ringkas tetapi bermanfaat. Aspirasi Scandinavian melengkapi keperluan apabila ia diterapkan untuk kehidupan lebih ringkas dan mampan.
"Kami sentiasa mendengar keperluan dan kehendak pelanggan kami. Setiap projek di Desa ParkCity adalah unik. Menjadi sebahagian pembangunan ini bermakna ia turut terangkum dalam komuniti yang menghargai kehidupan bermasyarakat yang sihat.
"Ia menjadi komuniti seperti sebuah keluarga dan Noöra merupakan tambahan terbaharu kepada rangkaian 'komuniti' kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com