Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov - Northport (Malaysia) Bhd (Northport) dan Maldives Ports Limited (MPL) memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik untuk mewujudkan hubungan pelabuhan berkembar bagi pembangunan perniagaan, inisiatif Halal, latihan, pertukaran sementara kakitangan dan penyelenggaraan peralatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof berkata, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama dalam memudahkan perdagangan antara kedua-dua pelabuhan, terutamanya dalam mempromosikan perdagangan Halal bagi menampung permintaan untuk produk Halal yang semakin meningkat.
Katanya, dari segi pembangunan modal insan, kerjasama tersebut menyediakan platform untuk perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui Northport International Centre of Excellence (“NICE”), sebuah pusat yang menyediakan program latihan pelabuhan bagi memenuhi keperluan latihan teknikal kakitangan Northport, kontraktor dan pengguna-pengguna pelabuhan.
"Kerjasama ini secara tidak langsung mewujudkan peluang dalam meningkatkan jumlah kargo kedua-dua pelabuhan di mana Pelabuhan Klang dan Maldives boleh menjadi pintu masuk untuk perdagangan antara kedua-dua benua," katanya dalam kenyatan di sini hari ini.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MPL, Shahid Ali dalam satu majlis yang diadakan secara maya pada 9 November 2021.
Sementara itu Shahid berkata, perjanjian tersebut penting dalam meletakkan MPL di dalam landasan yang betul.
"Kolaborasi di dalam bidang yang sama, pemindahan pengetahuan merentasi persekitaran dan budaya perniagaan masing-masing diharap akan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada organisasi kami," katanya.
MPL telah diperbadankan pada 31 Julai 2008 sebagai sebuah syarikat 100% milik Kerajaan di bawah Akta Syarikat Maldives, dengan fungsi utama untuk memastikan kecekapan pengurusan dan operasi pelabuhan milik Kerajaan dan kemudahan pelabuhan.
MPL mengendalikan Pelabuhan Malé, yang terdiri daripada Pelabuhan Dalam, yang digunakan oleh kapal riadah, industri perikanan dan perdagangan pantai; dan Pelabuhan Luar bagi memenuhi keperluan kapal yang lebih besar.
Ia juga mengendalikan beberapa anak syarikat pelabuhan serantau termasuk Hithadhoo Port Limited (HPL), Kulhudhuhffushi Port Limited (KPL) dan Maamigilli International Port (MIP). -DagangNews.Com