NPC Resources jual syarikat sawit Indonesianya, PT Enggang Alam Sawita berharga RM29.33 juta | DagangNews Skip to main content

NPC Resources jual syarikat sawit Indonesianya, PT Enggang Alam Sawita berharga RM29.33 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept - NPC Resources Bhd menjual unit kelapa sawit Indonesianya, PT Enggang Alam Sawita (EAS) pada RM29.33 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, unit milik penuhnya itu berada dalam kedudukan merah sejak tiga tahun lalu dan hanya menjana 2.5% daripada jumlah aset NPC. 

 

NPC berkata, pelupusan itu selaras dengan rancangan Kumpulan itu untuk menjual beberapa aset perladangannya bagi mengurangkan hutang serta menangani daya maju kewangannya yang dicatatkan oleh juruaudit luar Tetuan Crowe Malaysia PLT pada April.

 

Pembeli unit tersebut ialah Kumpulan Bayan, yang terdiri daripada PT Bayan Resources Tbk dan PT Bayan Energy.

 

NPC berkata, hasil daripada pelupusan itu akan disalurkan kepada tanah penanaman baharu seluas kira-kira 1,000 hektar di Indonesia, serta modal kerja am dan perbelanjaan operasi.

 

“Selepas siap cadangan pelupusan, NPC Resources masih memiliki kira-kira 10,776 hektar tanah ladang di Sabah, kira-kira 36,582 hektar di Indonesia dan dua kilang kelapa sawit yang mana satu terletak di daerah Labuk-Sugut, Sabah dan satu lagi di Kabupaten Kutai Timur, Indonesia,” ujar NPC.

 

NPC berkata Kumpulan itu dijangka meraih keuntungan pro forma sebanyak RM33.97 juta atau 29 sen sesaham daripada penjualan itu, manakala aset bersih sesahamnya akan meningkat kepada RM5.17 daripada RM4.88 sebelumnya. 

 

Nisbah penggearannya juga akan turun kepada 0.74 daripada 0.78.- DagangNews.com