KUALA LUMPUR 29 Dis - Pasukan National Task Force (NTF) yang ditubuhkan bagi melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) secara bersepadu sejak 2020 dibubarkan hari ini.
Pembubaran tersebut diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
NTF ditubuhkan pada 6 Mei 2020 membabitkan gabungan 18 agensi penguat kuasa dan keselamatan yang bertanggungjawab mengekang penyebaran wabak COVID-19.
Ia susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 April 2020 melalui Op Benteng di bawah Akta 342.
Selain itu, NTF juga, digerakkan bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) berkaitan dengan mengekang penyebaran jangkitan.
Menurut Affendi, pembubaran NTF setelah mengambil kira situasi pandemik COVID-19 negara dan dunia yang semakin terkawal.
Ia diarahkan melalui Sidang Majlis Keselamatan Negara bilangan 2 tahun 2022.
"Setelah dua tahun, tujuh bulan dan 25 hari menyumbang kejayaan demi kejayaan, kita harus menerima hakikat organisasi bersepadu yang merangkumi pelbagai agensi in perlu dibubarkan.
"Saya amat berpuas hati dengan segala usaha kawal selia dan pengurusan NTF serta pelaksanaan OP Benteng," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena Pembubaran NTF di Auditorium Wisma Pertahanan, Rabu.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd. Daud dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som.
Tambah Affendi, NTF sebagai sebuah organisasi bersepadu yang julung-julung kali ditubuhkan telah berjaya membuktikan keberkesanannya.
Sepanjang pelaksanaan Op Benteng, seramai 7,490 tangkapan dibuat membabitkan 1,444 orang tekong, PATI (23, 894) dan individu (1,377) serta rampasan bernilai RM1.10 bilion.
Op Benteng juga berjaya melakukan 797 pengusiran dan menggagalkan empat kejadian rompak laut. - Dagangnews.com