Nurflix bina rangkaian media Islamik antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Nurflix bina rangkaian media Islamik antarabangsa

Nurflix

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Platform penstriman video dengan kandungan Islamik, Nurflix giat memperkasa empayarnya dengan melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media Islamik antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eskekutif Nurflix, Syah Mohamed berkata, inisiatif berkenaan dibina selepas menilai kepada kekangan dan keterbatasan melanjutkan produksi penggambaran dan pembangunan kandungan kesan daripada pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, kesan pandemik membawa kepada peluang memperkasakan jalinan penerbitan dan media dengan menjangkau rangkaian kerjasama bersama syarikat penerbitan dan media Islamik dari luar negara. 

 

Syah Mohamed
Syah Mohamed.

 

"Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti. Kita akan ada kandungan serta kolaborasi dari syarikat penerbitan luar seperti dari United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki dan Indonesia.

 

"Melalui kolaborasi ini, dianggarkan akan ada lebih 1,000 kandungan untuk ditonton menjelang akhir tahun ini, InshaAllah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam agenda pemerkasaan platform tersebut, Nurflix juga sedang mengadakan perbincangan dengan platform penstriman Islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media yang sopan dan bermanfaat.

 

Melalui jalinan berkenaan, pihaknya berharap kandungan dan program dari luar boleh ditonton di Nurflix dan kandungan dari Malaysia juga boleh ditonton di luar negara.

 

"Sudah tiba masa untuk rangkaian ini diperkasakan. Kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurlix juga akan memberi peluang pekerjaan post-produksi, terjemahan kandungan dan alih bahasa. 

 

"Inisiatif ini juga dibuat agar khalayak akan dapat terus menikmati kandungan patuh Syariah dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengguna," katanya lagi.

 

Mengulas perkara yang lebih istimewa, beliau memberitahu, Nurflix turut mempunyai sasaran untuk menjadi platform pembelajaran dan tidak bergantung kepada unsur hiburan semata-mata.

 

Sehubungan dengan pemerkasaan kerjasama dan pelebaran kandungan luar, produk milik Sutera Hijau Ventures Berhad itu akan melancarkan aplikasi natif ‘Nurflix Goldfish 2.0’ lengkap untuk pelbagai peranti iOS, Android dan Smart TV bagi menggantikan aplikasi hybrid sedia ada sejak pelancaran Nurflix Beta pada Oktober 2020.

 

Naik taraf tersebut akan dilancarkan pada 1 Muharram atau 10 Ogos 2021 sekali gus memberi kelebihan kepada pengguna dengan capaian lebih stabil dan pantas. - DagangNews.com