KUALA LUMPUR 16 Ogos - OKA Corp Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, OKA Concrete Industries Sdn. Bhd. (OCI) bercadang untuk membeli sebidang tanah di Senai, Johor bernilai RM14.24 juta bagi mengembangkan operasi kumpulan.
Kumpulan membeli tanah tersebut daripada vendor, Hoe Siew Meng and Hoe Teck How berdasarkan kepada kerelaan pembeli dan penjual berdasarkan kepada nilai pasaran semasa di kawasan sekitar, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Hartanah yang diperoleh itu adalah sebidang tanah kosong seluas 3.58 hektar dan terletak bersebelahan dengan kilang OCI di Senai.
"Tanah ini akan digunakan oleh OCI untuk mengembangkan operasinya dengan jangkaan pertumbuhan masa depan dalam perniagaannya di wilayah selatan.
"Kedudukannya yang hampir dengan operasi sedia ada merupakan antara faktor yang mendorong kepada pembelian tanah ini sebagai tapak alternatif," katanya.
OKA menjangkakan cadangan pemerolehan itu selesai pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).
Menurutnya, pembelian tanah itu akan dilaksanakan menerusi dana dalaman atau pinjaman bank.
"Cadangan ini tidak memberi kesan kepada tahap gearan kumpulan bagi FY23. Selain itu, ia juga tidak memberi kesan kepada untung bersih mahupun aset bersih sesaham kumpulan," katanya. - DagangNews.com