Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerajaan bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu dijangka dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
“Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan special green lane (laluan hijau) bagi perjalanan sempadan yang melibatkan pengangkutan udara.
“Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion hari ini.
Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10%, dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 30 Jun 2021 dengan jumlah kos tanggungan oleh kerajaan sebanyak RM135 juta.
Jelas Muhyiddin, ini bertujuan membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan.
Sementara itu, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
Inisiatif lain untuk sektor pelancongan juga melibatkan lanjutan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022.
Di samping itu, kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa, katanya.
“Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan.
“Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC
“Memberi pengecualian levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com