Opcom, Global Forway bentuk kerjasama rebut peluang dalam 5G | DagangNews Skip to main content

Opcom, Global Forway bentuk kerjasama rebut peluang dalam 5G

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Opcom Holdings Bhd. memeterai kerjasama dengan Global Forway Sdn. Bhd. yang akan menyaksikan pembabitannya dalam sektor 5G.

 

Kerjasama itu diformalisasikan dengan pembentukan syarikat baharu yang diperbadankan, Opcom Vision Sdn. Bhd. dengan 60% kepentingan dimiliki Opcom manakala selebihnya oleh Global Forway.

 

Pengerusi Opcom, Datuk Mazlin Junid berkata, dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki Opcom dan Global Forway membolehkan Opcom Vision menawarkan penyelesaian komprehensif merangkumi keseluruhan spektrum daripada bekalan kabel gentian optik fiber, pemasangan infrastruktur dan penyelenggaraan hinggalah kepada aplikasi reka bentuk perisian. 

 

Katanya, aplikasi tersebut mampu menyediakan pemilik aset dengan kawalan sepenuhnya dalam keseluruhan ekosistem.

 

"Malah kerjasama dengan Global Forway menerusi Opcom Vision membolehkan kami memanfaatkan kepakaran menerusi pelbagai peluang.

 

"Ini juga dapat menambah rantaian nilai bagi meningkatkan keuntungan dan mencipta nilai yang lebih besar bagi pihak berkepentingan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.  

 

Beliau juga menyifatkan Global Forway memiliki lesen dan kepakaran yang diperlukan Opcom termasuk perkhidmatan nilai tambah.

 

"Perkhidmatan ini termasuklah keterhubungan melibatkan akses internet dan talian sewaan titik ke titik, perkhidmatan keselamatan seperti pemantauan keselamatan yang terurus dan pusat data merangkumi perkhidmatan lokasi bersama dan akses internet pusat data hingga perkhidmatan awan," tambahnya.  

 

Opcom, menerusi anak-anak syarikatnya kini merupakan pengeluar kabel gentian optik terbesar di Malaysia dengan memiliki pengalaman 27 tahun dalam membekalkan kabel gentian optik kepada industri telekomunikasi di negara ini.

 

Kumpulan juga menyediakan perkhidmatan berkaitan kejuruteraan dan memiliki pensijilan G7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

 

Global Forway pula memiliki lesen penyedia kemudahan rangkaian (NFP), penyedia perkhidmatan rangkaian (NSP) dan penyedia permohonan perkhidmatan (ASP) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pensijilan G7 daripada CIDB.

 

Dengan kepakaran yang dimiliki Opcom dan Global Forway akan digunapakai menerusi Opcom Vision sebagai platform untuk meneroka peluang dalam inisiatif pendigitalan negara.

 

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Global Forway, Datuk Seri Vincent Gey berkata, Opcom adalah rakan kerjasama paling ideal yang boleh melengkapkan kemahiran dimiliki kumpulan. 

 

"Dengan pengalamannya dalam pembuatan dan pengeluaran kabel gentian optik beserta lesen dan keupayan dalam perkhidmatan rangkaian yang dimiliki kami, ia meletakkan kerjasama kami ini dalam kedudukan yang baik untuk membida kontrak-kontrak berkaitan di bawah Jendela dan juga pelancaran 5G.

 

"Kami berharap kerjasama ini akan membawa kepada kejayaan lebih besar dan berharap dapat bekerjasama dengan Opcom," katanya. - DagangNews.com