OPR kekal 1.75% - BNM | DagangNews Skip to main content

OPR kekal 1.75% - BNM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%.

 

Bank pusat itu melihat kegiatan ekonomi Malaysia terus bertambah baik pada suku pertama dan sehingga bulan April. 

 

Jelas BNM, walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di lokasi terpilih baru-baru ini akan menjejaskan kegiatan ekonomi dalam jangka pendek, namun kesannya dijangka kurang teruk memandangkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. 

 

“Trajektori pertumbuhan diunjurkan untuk meningkat, didorong oleh pemulihan yang lebih kukuh dalam permintaan global serta peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan langkah-langkah dasar yang berterusan. 

 

“Pertumbuhan juga akan disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutamanya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas. 

 

“Kemajuan program pemberian vaksin COVID-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi,” jelas BNM dalam satu kenyataan hari ini. 

 

BNM bagaimanapun memberi amaran bahawa prospek pertumbuhan ekonomi terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah.

 

Hal ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan yang berkaitan dengan pandemik serta cabaran yang mungkin dihadapi, sehingga menjejaskan pemberian vaksin pada peringkat global dan domestik.

 

Sementara itu, purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 pula diunjurkan lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%, disebabkan terutamanya oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat. 

 

Kata BNM lagi, dari segi trakjektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 disebabkan terutamanya oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020. 

 

Namun keadaan itu dijangka bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan diunjurkan menjadi sederhana selepas itu apabila kesan asas ini luput. 

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi, tambah BNM, 

 

Walau bagaimanapun, jelas BNM, prospek itu bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi.

 

“MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu, serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

 

“BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com