KUALA LUMPUR 6 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan Optimax Holdings Berhad akan menubuhkan pusat jagaan ambulatori (ACC) di Bahau, Negeri Sembilan dan klinik staelit pertama di Taman Sutera Utama, Skudai pada Q2FY22.
Firma itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk menubuhkan antara empat ke semblian lagi klinik satelit pada tahun ini dan berhasrat untuk mengembangkan perniagaan ke Pantai Timur.
Firma itu menjangkakan, Optimax akan membuka empat pusat baharu (1 ACC, 3 klinik satelit) pada FY23F dan tiga pusat (2 ACC, 1 hospital) pada FY24F terutama selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Selgate Healthcare.
"Secara keseluruhan, kami melihat Optimax akan memiliki tambahan 13 cawangan pada FY22-24F (setakat ini 13 cawangan).
"Dengan rekod cemerlang, Optimax akan memanfaatkan pertambahan generasi berusia dan peningkatan penembusan insurans perubatan seperti katarak yang akan membentuk c.32% daripada pendapatan FY22F," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, jumlah pembedahan yang dilakukan Optimax pada Q1FY22 adalah lebih tinggi dari tahun ke tahun akibat peningkatan permintaan selepas ketiadaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Q3FY21 dan penutupan sempadan antarabangsa membuatkan orang ramai beralih ke arah penjagaan mata.
Pada masa sama, firma itu percaya jangkaan perolehan sesaham (EPS) teras untuk Optimax adalah lebih rendah untuk suku ke suku selepas mengambil kira perkhidmatan vaksin COVID-19.
"Tempahan untuk pembedahan juga berada pada paras yang sangat baik untuk Q2-Q4FY22F," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM0.77 berbanding RM0.78 sebelum ini. - DagangNews.com