Optimis dengan prospek Aeon, MIDF Research naikkan penarafan saham kepada 'beli' TP RM1.49 | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek Aeon, MIDF Research naikkan penarafan saham kepada 'beli' TP RM1.49

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Feb - Aeon Co. Bhd. dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam tahun kewangan 2022 (FY2022) dan seterusnya dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi. 

 

Malah, strategi perniagaan yang berkesan dan penstrukturan semula pengurusan kos juga memberi kelebihan kepada kumpulan peruncit tersebut. 

 

Ini membolehkan MIDF Research menyemak naik penarafan sahamnya kepada saranan 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) juga dinaikkan kepada RM1.49 daripada RM1.38. 

 

Firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan bagi FY2022 sebanyak 8% sejajar dengan sentimen pengguna yang semakin baik dan kedudukan kumpulan yang meraih manfaat daripada pemulihan ekonomi negara. 

 

"Kami berpendapat kumpulan memiliki kelebihan sebagai peruncit dan pemilik aset yang disokong oleh Aeon Co. Ltd.," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Aeon catat keuntungan dua ganda kepada RM85.3 juta pada 2021

 

Dalam laporan yang diumumkan semalam, Aeon Co. mencatat Keuntungan Selepas Cukai (PAT) lebih daripada dua kali ganda kepada RM85.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) daripada RM41.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pencapaian itu didorong oleh margin yang lebih luas melalui penambahbaikan strategi pembelian dan peningkatan rundingan, serta pengurusan kos secara berdisiplin.

 

Keputusan kewangan bagi suku keempat 2021 merekodkan lonjakan sebanyak 161.4% dengan keuntungan bersih kepada RM71 juta berbanding suku yang sama pada FY2020.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research berkata, prestasi kewangan Aeon bagi FY2021 adalah melebihi jangkaan yang dibuatnya sebelum ini.

 

"Dengan keuntungan bersih RM85.3 juta bagi tempoh itu, ia merangkumi 144.3% daripada ramalan kami dan 171.5% daripada anggaran penuh konsensus.

 

"Namun, kami masih berwaspada terhadap risiko penurunan dan ketidaktentuan akibat COVID-19, yang akan menyebabkan kehadiran pengunjung yang lebih rendah ke pusat beli-belah," katanya.

 

Setakat 9.10 pagi ini, harga saham Aeon menokok 7 sen atau 5.11% kepada RM1.44 dengan 379,300 saham diniagakan. - DagangNews.com