KUALA LUMPUR 18 Ogos - MIDF Research menaikkan penarafan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB) kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) juga disemak lebih tinggi kepada 54 sen daripada 44 sen sesaham.
Sejajar dengan semakan TP, firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan MHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 26% dan 11%.
Ini berikutan kumpulan melaporkan prestasi kewangan yang kukuh bagi separuh pertama FY22 dengan prospek yang lebih cerah bagi FY23.
Firma itu berpendapat prospek MHB kekal berdaya tahan, memandangkan kesan sekatan sempadan yang ditarik balik sepenuhnya dan permintaan untuk perkhidmatan kejuruteraan berat dan marin akan meningkat.
"Namun, kenaikan harga keluli mungkin akan menjejaskan operasinya, meskipun masalah kekurangan buruh dapat diatasi.
"Di sebalik cabaran ini, kami kekal positif dengan prospek kumpulan berikutan kedudukan kunci kira-kira dan aliran tunai yang mantap, nilai kontrak semasa dan projek akan datang yang kukuh serta penyertaan dalam penyelesaian mampan termasuk ladang angin luar pesisir dan projek CCS sebagai sebahagian daripada strategi ESG kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : MHB catat untung bersih RM21.97 juta pada suku kedua, jangka harga minyak kekal tinggi tahun ini
MHB mencatat untung bersih sebanyak RM21.97 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih berjumlah RM34.38 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia juga menandakan keuntungan dua suku berturut-turut disebabkan ketiadaan peruntukan kos berkaitan dengan pandemik COVID-19 dan pemulihan aktiviti dry-docking di limbungan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Bagi suku kedua itu, pendapatan turut meningkat 32.5% tahun ke tahun kepada RM400.63 juta daripada RM302.45 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Untuk tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2022, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM24.69 juta berbanding kerugian bersih RM138.73 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 27% kepada RM818.41 juta daripada RM646.02 juta.
MIDF Research berkata, MHB percaya perbelanjaan modal (capex) syarikat minyak utama dijangka meningkat berikutan permintaan yang semakin bertambah berikutan bekalan yang ketat yang disebabkan oleh sekatan minyak Rusia.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat risiko gangguan rantaian bekalan dan harga keluli yang tidak menentu akan menjejaskan segmen kejuruteraan berat dan pelaksanaan projek yang sedang berjalan tepat pada masanya.
"Tetapi, memandangkan perkhidmatan MHB telah ditempah sepenuhnya sehingga akhir FY22, kumpulan itu yakin ia dapat mencapai sasaran akhir tahunnya walaupun berdepan cabaran," jelasnya.
Setakat 9.44 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 42 sen dengan 263,700 saham diniagakan. -DagangNews.com