Padini dijangka terus berdepan cabaran kenaikan kos barangan, penghantaran akibat inflasi | DagangNews Skip to main content

Padini dijangka terus berdepan cabaran kenaikan kos barangan, penghantaran akibat inflasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - MIDF Research menjangkakan Padini Holdings Berhad akan terus berdepan cabaran gangguan rantaian bekalan, kenaikan kos bahan mentah dan kos penghantaran barangan didorong oleh kenaikan kadar inflasi.

 

Firma itu bagaimanapun berpendapat bahawa keadaan itu boleh diseimbangkan dengan perkembangan positif daripada perubahan negara ke fasa endemik. 

 

"Kehadiran orang ramai ke pusat beli belah selain pengurusan kos yang cekap dijangka menyumbang kepada keseimbangan pendapatan kumpulan itu pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih RM76.6 juta untuk 9MFY22.

 

Sebagai perbandingan untuk 2QFY22, pe ndapatan kumpulan itu menurun kepada RM329.3 juta akibat kesan bermusim selain keuntungan selepas cukai (PBT) juga menurun sebanyak 41% daripada RM81.8 juta kepada RM41.9 juta. 

 

Angka yang tinggi pada suku sebelum ini adalah disebabkan jualan sempena Hari Natal dan Tahun Baharu Cina selain musim cuti persekolahan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menerima manfaat besar daripada kelonggaran kerajaan terhadap kawalan pergerakan dan peningkatan pemberian vaksin berjaya meningkatkan semula kehadiran orang ramai ke pusat beli belah.

 

"Usaha kumpulan itu meningkatkan kecekapan kos dengan mengambil jumlah pekerja yang tepat berjaya meningkatkan PBT," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Padini dengan sasaran harga (TP) lebih rendah RM3.00 berbanding RM3.25.

 

"Berdasarkan kepada keputusan semasa, Padini berada di landasan terbaik untuk pulih disokong oleh nilai produk mereka serta kunci kira-kira yang seimbang," katanya. - DagangNews.com