Pakej Kickstarter Penjual Baharu Lazada bantu perniagaan dalam talian PKS | DagangNews Skip to main content

Pakej Kickstarter Penjual Baharu Lazada bantu perniagaan dalam talian PKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Lazada Malaysia melancarkan Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau 2022, sebagai usaha untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

 

Ia juga bagi membantu usahawan menangani kesan pandemik yang berpanjangan dengan memudahkan mereka beralih ke dalam talian, lantas merangsang pertumbuhan perniagaan mereka. 

 

Inisiatif ini termasuk bantuan latihan, logistik dan insentif kewangan bagi membolehkan PKS menangani kos operasi dan memperluaskan kewujudan dalam talian, di samping mempersiapkan mereka untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang serta membina perniagaan yang mampan. 

 

Program itu turut memantapkan komitmen jangka panjang Lazada demi menyokong pendigitalan perniagaan tradisional dan kecil bagi memastikan para usahawan PKS mampu terus berdaya saing dalam ekonomi digital yang kian berkembang.  

 

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata, dalam situasi pandemik semasa dan kemunculan jenis virus baharu, banyak syarikat-syarikat kecil Malaysia khususnya peniaga yang tiada kewujudan dalam talian yang masih dalam proses pemulihan. 

 

"Pakej Kickstarter Penjual Baharu direkabentuk oleh Lazada untuk membantu syarikat-syarikat kecil yang mengharungi cabaran suasana perniagaan yang kian berubah, sementara ekonomi pulih secara beransur-ansur dan para pelanggan menyesuaikan diri dengan kaedah pembelian baharu seperti e-dagang. 

 

“Lazada akan terus mengoptimumkan teknologi dan capaian kami bagi  mencari pendekatan baharu dalam lanskap perniagaan yang mampu menyokong komuniti usahawan dengan lebih terangkum," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Peniaga baharu yang menyertai Lazada bermula sekarang hingga 31 Disember 2022 di bawah Hari-Harimau 2022 Pakej Kickstarter Penjual Baharu layak dan boleh memanfaatkan sepenuhnya rangkaian teknologi dan perkakasan digital inovatif Lazada.

 

Antara sokongan utama yang diberikan termasuk, meringankan kos operasi dengan kos pembukaan kedai dalam talian secara percuma, yuran komisen 0%, pengecualian yuran pembayaran 2%, servis penghantaran percuma dan sebagainya.

 

Program sokongan penjual Lazada adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu komuniti setempat menangani cabaran pandemik COVID-19. 

 

'Pakej Kedai Pintar' iaitu pakej rangsangan Lazada untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana telah dilancarkan pada bulan April 2020 dan hasilnya, Lazada berjaya mencatatkan pertambahan lebih 300% pendaftaran penjual baharu, dengan peningkatan jualan lebih dua kali ganda menjelang akhir 2020.

 

Dalam beberapa bulan akan datang, Lazada akan terus bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan rakan-rakan niaga untuk membangunkan pelbagai inisiatif bagi merancakkan pemulihan ekonomi, demi manfaat para usahawan dan peniaga kecil di Malaysia.  - DagangNews.com