Pakej Kita Selangor 2.0 gariskan 25 inisiatif bernilai RM551.56 juta | DagangNews Skip to main content

Pakej Kita Selangor 2.0 gariskan 25 inisiatif bernilai RM551.56 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sehingga RM551.56 juta bagi bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentangkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari petang ini.

 

Dalam satu kenyataan berhubung pengumuman berkenaan, Amirudin menjelaskan bahawa pakej bantuan tersebut bertujuan meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi serta pembangunan negeri terus meningkat walaupun dihimpit pandemik dan ‘lockdown’ terbaharu.

 

Menerusi 25 inisiatif atau program di bawah Pakej Kita Selangor 2.0, Amirudin berkata, bantuan itu dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat di negeri itu.

 

“Bagi tujuan menjaga kebajikan rakyat, kerajaan negeri akan memberikan moratorium kepada 40,000 usahawan Hijrah, 1,300 pelajar graduan tahun 2021, 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor, 2,632 penyewa Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan 477 peserta Skim Smart Sewa. 

 

Amirudin Shari
Amirudin Shari - Gambar Facebook Amirudin Shari

 

“Menyedari bahawa akses kepada internet adalah nadi kelangsungan perniagaan dan pembelajaran, kerajaan negeri melancarkan program Data Internet Selangor yang menyasarkan subsidi kad SIM dengan kemudahan data internet tanpa had kepada 70,000 penerima yang terdiri daripada penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi gig. 

 

“Bagi menyemarakkan ekonomi negeri, RM200 juta akan ditambah ke dalam Selangor Advance yang akan memanfaatkan aliran tunai syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menampung perbelanjaan termasuk menyelamatkan pekerjaan kepada pekerja demi mengekalkan kelangsungai operasi syarikat masing-masing,” jelas beliau. 

 

Di bawah pakej bantuan sama, sebanyak RM80 juta diperuntukkan kepada 8,000 usahawan dengan modal awalan untuk memulakan perniagaan, dikhususkan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendaftaran akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujar Amirudin lagi.  

 

Sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID-19, katanya, Selangor akan melaksanakan Ujian Saringan COVID-19 Komuniti Fasa Ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh negeri secara percuma. 

 

Jelas beliau, ini selaras dengan strategi find, test, trace, isolate and support (FTTIS) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana bertujuan mengesan ‘silent carriers’ dalam kalangan komuniti dan memutuskan rantaian jangkitan wabak. 

 

Selain itu, Inisiatif ‘Home Assessment Kit’ atau kit penilaian rumah akan disediakan bagi mereka yang telah dikesan positif melalui ujian saringan yang dilaksanakan.

 

Ini mengandungi pelitup muka KN95, termometer, oximeter, ubat-ubatan dan kit ujian air liur (saliva test kit) yang akan membantu para pesakit dalam kuarantin untuk menilai keadaan kesihatan mereka dengan bantuan petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui aplikasi SELangkah. 

 

“Bagi menggalakkan dan memudahcara penerima vaksin, kerajaan negeri akan menyediakan pemberian rebat sebanyak RM20 kepada hampir 50,000 individu dengan peruntukan RM1 juta. Kerajaan negeri juga akan menyelaras bantuan pengangkutan bagi mereka yang berada jauh dari Pusat Pemberian Vaksin dengan melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). 

 

“Untuk mencapai herd immunity ataupun imuniti kelompok, serta sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sukacita saya mengumumkan Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor, Selangor COVID-19 Vaccination Programme (SCVP) dengan peruntukan RM200 juta untuk memperoleh vaksin supaya imuniti kelompok dapat dipercepatkan. 

 

“Kerajaan Negeri akan kembali ke Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bersama-sama membincangkan pelan kita dan melaraskan data-data penerima vaksin agar ianya selari dan sejajar dengan PICK,” ujar Amirudin lanjut. - DagangNews.com