Pandemik COVID-19 gagalkan pemulihan jualan hartanah | DagangNews Skip to main content

Pandemik COVID-19 gagalkan pemulihan jualan hartanah

Hartanah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Perkembangan semasa pandemik COVID-19 yang semakin buruk dan serius dilihat akan menggagalkan pemulihan penjualan hartanah di negara ini.

MIDF Research berkata, perkara itu dinilai melalui tinjauan dan perkembangan ekonomi yang menjadi tidak menentu akibat wabak berkenaan.

"Walaupun kami jangkakan penjualan hartanah akan pulih pada separuh kedua 2020 kerana pengenalan insentif PENJANA yang memberi kadar faedah yang rendah, kami melihat keadaan COVID-19 yang semakin buruk di Malaysia akan menggagalkan pemulihan penjualan hartanah.

"Kes COVID-19 yang meningkat telah mengakibatkan pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Malaysia yang merupakan perkara negatif kepada syarikat hartanah.

"Kami menjangkakan kadar lawatan ke galeri jualan akan rendah semasa tempoh PKPB," jelas MIDF Research.

Mengulas lanjut berhubung isu berkenaan, MIDF Research memberitahu, sentimen pembeli juga berkemungkinan akan turut berubah menjadi lemah susulan perkembangan ekonomi yang tidak menentu.

Perkara tersebut mampu menyebabkan penjualan hartanah menurun pada suku keempat 2020.

Keadaan itu turut mengheret pemaju hartanah untuk menurunkan sasaran penjualan masing-masing pada kadar yang rendah.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Hartanah Nasional (NAPIC), kediaman yang belum terjual di negara ini kembali meningkat sebanyak 6.6% kepada 31,661 unit pada suku kedua 2020. 

Menilai kepada perkembangan tersebut, MIDF Research mengambil pendekatan dengan menurunkan penarafan sektor hartanah kepada 'neutral' berbanding 'positif' pada sebelumnya.

Jelas MIDF Research, keputusan itu dibuat kerana pihaknya menjangkakan kegagalan pemulihan sektor hartanah yang disebabkan oleh PKPB dan perkembangan semasa COVID-19.

"Prospek penjualan hartanah dijangka menjadi lemah kerana sentimen pembeli akan dipengaruhi oleh ketikdakpastian ekonomi.

"Oleh itu, kami menurunkan penarafan sektor hartanah kepada 'neutral' berbanding 'positif'," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com