Panggilan PERCUMA mulai 10 malam ini hingga 10 pagi Raya Pertama | DagangNews Skip to main content

Panggilan PERCUMA mulai 10 malam ini hingga 10 pagi Raya Pertama

 

 

KUALA LUMPUR 12 Mei - Syarikat-syarikat telekomunikasi bersepakat menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai pukul 10 malam pada 12 Mei 2021, hingga 10 pagi pada Hari Raya Pertama Aidilfitri, 13 Mei 2021.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu dibuat atas keprihatinan terhadap keadaan rakyat Malaysia yang terpaksa berhari raya dalam suasana norma baharu tahun ini dan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

 

Menurutnya, kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi berikut: Celcom, Digi, Maxis REDtone, TM, Unifi, TIME, dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan YTL.

kreatif

 

Menurut Saifuddin, setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing. Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini.

 

"Saya berharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga tersayang serta rakan taulan, walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan di bawah PKP yang berkuat kuasa mulai 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021.

 

"Terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dan rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan COVID-19.

 

"Sama-sama kita berdoa agar lekuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak. InsyaAllah kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup, untuk masa depan yang lebih baik," kata beliau. - DagangNews.com