5 kaedah pertingkatkan hasil sawit - Panduan oleh Ahli Agronomi  | DagangNews Skip to main content

5 kaedah pertingkatkan hasil sawit - Panduan oleh Ahli Agronomi 

Oleh Mohd Khairil Jamahuri, Ahli Agronomi

Kelapa sawit (Elaeis guineensis) memainkan peranan penting dalam ekonomi negara pengeluar terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

 

Hasil dan fleksibiliti yang tinggi menjadikannya satu daripada komoditi yang penting serta menyumbang kepada KDNK, pertukaran asing dan pembangunan luar bandar.

 

Di Malaysia, sektor minyak sawit menyumbang 2.7% kepada KDNK pada tahun 2020 dengan eksport mencapai 16.2 juta tan metrik bernilai 73.3 bilion ringgit Malaysia.

 

Begitu juga dengan pengeluaran minyak sawit di Indonesia terus berkembang dengan ketara meningkatkan pendapatan pertukaran asing dan menyokong ekonomi tempatan.

 

Namun, untuk memastikan pengeluaran hasil yang optimum dan berterusan, amalan agronomi yang berkesan dan berlandaskan penyelidikan dan praktikal  perlu diterapkan dalam pengurusan ladang sawit lestari.
 

Mohd Khairil Jamahuri
                   Mohd Khairil Jamahuri

 

 

Amalan agronomi yang baik melibatkan pelbagai aspek iaitu bermula dari pemilihan benih berkualiti hingga ke pengurusan tanah, air, nutrien dan kawalan perosak yang berkesan.

 

Pendekatan yang sistematik dan saintifik dalam setiap aspek pengurusan ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil sawit tetapi juga berperanan dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara. 

 

Antara 5 amalan dan kaedah utama untuk mempertingkatkan hasil sawit berdasarkan hasil potensi semasa (SYP) serta berdasarkan kajian dan pemerhatian Ahli agronomi sawit seluruh dunia melalui laporan kajian mereka adalah seperti berikut:


1.    Pengurusan baja yang berkesan

Pengurusan baja yang berkesan adalah kunci utama dalam meningkatkan hasil kelapa sawit. Baja memainkan peranan penting dalam memastikan pokok sawit mendapat nutrien yang mencukupi untuk tumbuh dengan sihat, berkembang dengan baik dan menghasilkan BTS (buah tandan segar) yang tinggi. Dengan pengurusan baja yang tepat, kualiti dan hasil sawit dapat ditingkatkan manakala kos dapat dikurangkan dan penggunaan sumber menjadi lebih efisien.

 

Langkah pertama dalam pengurusan baja yang berkesan adalah memahami keperluan nutrien pokok sawit. Pokok sawit memerlukan pelbagai unsur makro dan mikronutrien untuk pertumbuhan dan penghasilan hasil BTS yang optimum.

 

 

parafrasa

 

 

Dengan memastikan baja yang digunakan mengandungi unsur-unsur ini dalam jumlah yang tepat, khidmat teknikal seperti Ahli agronomi diperlukan bagi mendapatkan bacaan yang tepat berkaitan ‘suppy and demand’ pokok sawit melalui persampelan daun dan tanah pada pelepah sawit nombor 17.

 

Ia berfungsi sebagai ‘signal’ pembacaan nutrien untuk dihantar ke makmal analisis pertanian (contoh, Makmal analisis LKPP Corporation Sendirian Berhad) bagi mendapatkan keputusan bacaan foliar dan tanah tanaman.

 

Dengan mengetahui tahap kesuburan pokok dan tanah, pengusaha ladang dapat merancang pemberian baja dengan lebih tepat dan mengelakkan pembaziran. Penggunaan baja yang berlebihan bukan sahaja merugikan dari segi kos, tetapi juga boleh mencemarkan alam sekitar.

 

Dengan pendekatan ini, pengurusan baja yang berkesan bukan sahaja dapat meningkatkan hasil BTS sawit, tetapi juga memastikan kelestarian ladang sawit dari segi ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

 

2.    Aplikasi tandan kosong sawit (EFB)

Aplikasi tandan kosong (EFB) merupakan aktiviti yang popular di kalangan pekebun dan peladang sawit kerana ia dapat meningkatkan hasil sawit melalui beberapa cara.

 

a) Tandan kosong meningkatkan kandungan bahan organik dalam tanah, memperbaiki struktur dan kelembapan tanah serta kesuburan.

 

b) Ia menambah nutrien asas yang penting dan diperlukan oleh pokok sawit untuk pertumbuhan.

 

 

parafrasa

 

 

Mengikut kajian, satu metrik tan EFB apabila menjadi kompos adalah bersamaan dengan 15kg baja Ammonium sulfat (SOA), 2.5kg baja batuan fosfat (RP) dan 18kg baja MOP dan 4.7kg baja Kieserite.

 

Aplikasi EFB ini bukan sahaja meningkatkan pengambilan nutrien tetapi juga menyokong amalan pertanian yang mampan dengan mengitar semula bahan buangan.

 

3) Penggunaan EFB merangsang aktiviti mikroorganisma tanah yang membantu penguraian bahan organik dan pembebasan nutrien. 

 

Selain itu, penggunaan EFB dapat mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia, mengurangkan kos pembajaan dan memberi manfaat alam sekitar.

 

EFB juga membantu mengurangkan kadar penyejatan air oleh pokok sawit (PET) dan mengawal pertumbuhan rumpai. Semua ini menyumbang kepada peningkatan hasil dan keberkesanan pengurusan ladang kelapa sawit.

 

3.    Aplikasi baja organik

Baja organik diketahui umum mampu meningkatkan hasil sawit dengan memperbaiki CEC (kapasiti pertukaran kation) tanah yang membolehkan tanah menyimpan lebih banyak nutrien penting seperti kalsium, magnesium dan kalium dari hilang melalui larut lesap terutama semasa musim hujan.

 

Dengan CEC yang tinggi, pokok sawit mendapat bekalan nutrien atau baja yang mencukupi dan berterusan untuk meningkatkan pertumbuhannya dan hasil BTS.

 

Baja organik seperti baja Makmur Bio Organik (MBO) keluaran LKPP Corporation Sendirian Berhad yang dihasilkan melalui penyelidikan berterusan mampu untuk membantu tanah sawit mengekalkan kelembapan dan struktur yang penting semasa musim kemarau.

 

Dan ia juga mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan baja kimia dan menjadikannya sebagai amalan yang lebih mampan dan efektif.

 

4.    Pemeliharaan rumput lembut

Amalan ‘Blanket spray’ atau semburan cocktail merupakan istilah biasa didengar dalam aktiviti kawalan rumpai di ladang sawit. Kesan daripada amalan ini akan menyebabkan rumput lembut mati atau kelihatan seakan-akan ‘botak’ kesan dari racun yang disembur.

 

Ia boleh diistilahkan seperti banjir yang berlaku akibat tiada pokok-pokok hutan disebabkan aktiviti penebangan hutan yang berleluasa menyebabkan tiada lagi hutan yang dipanggil sebagai tempat tadahan air.

 

Rumput lembut berfungsi sama seperti pokok-pokok hutan dalam memastikan air hujan dapat diserap ke dalam tanah melalui ruang-ruang penetrasi akarnya. Sekiranya tiada akar, tiadalah ruang-ruang rongga kemasukan air hujan ke dalam tanah bagi penyerapan akar sawit. 

 

 

parafrasa

 

 

Mengikut kajian oleh Ahli Agronomi, Fong (1991) di kajian Lysimeter di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Tekam mendapati pokok pra matang memerlukan air sebanyak 300-360 liter per pokok per hari manakala pokok matang memerlukan sekitar 400-500 liter per pokok per hari untuk memastikan pertumbuhan dan penghasilan sawit yang optimum.

 

Oleh itu, penjagaan rumput lembut perlu menjadi amalan dalam memastikan hasil BTS yang tinggi.

 

5.    Kaedah ‘Soil mounding’ atau penimbunan tanah

Soil mounding merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam penanaman kelapa sawit untuk meningkatkan hasil BTS terutama di kawasan tanah gambut, kawasan paya dan kawasan banjir.

 

Kaedah ini melibatkan pembentukan timbunan tanah pada saiz tertentu di sekitar batang pokok sawit. Antara manfaat kaedah ini adalah untuk meningkatkan saliran air di sekitar akar pokok sawit, mengurangkan hakisan tanah serta memperbaiki peredaran oksigen di dalam tanah.

 

Kaedah ini juga membantu dalam penyediaan air dan nutrien yang lebih baik kepada pokok sawit selain memastikan keadaan tanah yang lebih sihat dalam mengurangkan risiko penyakit. 

 

 

parafrasa

 

 

Apabila struktur akar mula berkembang selepas kaedah ini dijalankan dalam tempoh waktu tertentu, peningkatan hasil sawit dicatatkan sebanyak 1.84 hingga 3.71 tan ha-1 tahun-1, mewakili peratusan peningkatan BTS sebanyak 19- 66% berbanding dengan kawasan tanpa penimbunan tanah.

 

Tahun 2018 juga menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 2- 3 tan/ ha berbanding kawasan yang tiada aplikasi penimbunan tanah.

 

Secara keseluruhannya, kaedah soil mounding ini dapat meningkatkan hasil kelapa sawit dengan menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk pertumbuhan pokok. - DagangNews.com

 
parafrasa
 
Mohd Khairil bin Jamahuri adalah Ahli Agronomi di Bahagian Agronomi & Khidmat Pertanian LKPP Corporation Sendirian Berhad