Meneliti jurang digital dihadapi masyarakat desa tani dalam konteks pembangunan dan Revolusi Industri 4.0 | DagangNews Skip to main content

Meneliti jurang digital dihadapi masyarakat desa tani dalam konteks pembangunan dan Revolusi Industri 4.0

Oleh Sunitha Kanakarajo bersama Dr Velan Kunjuraman

KETERBATASAN akses kepada teknologi digital dalam kalangan masyarakat desa tani mencerminkan ketidakadilan struktur yang wujud dalam masyarakat.

 

Ketidakseimbangan ini bukan sahaja menghalang masyarakat desa daripada mengakses maklumat terkini dan meningkatkan kemahiran  digital malah turut menjejaskan peluang mereka untuk terlibat dalam ekonomi digital.

 

Dalam konteks Revolusi Industri 4.0 jurang digital yang dihadapi masyarakat desa tani mencerminkan ketidaksamaan sosial yang mendalam di mana golongan ini terpinggir daripada proses transformasi ekonomi digital yang sedang berlangsung.

 

Berdasarkan perspektif sosiologi pembangunan, jurang digital ini boleh dianggap sebagai suatu bentuk peminggiran sosial yang memperkukuh kedudukan marginal (kecil) masyarakat desa dalam hierarki sosioekonomi negara.

 

Isu ini merungkaikan persoalan bagaimana jurang digital berpotensi mewujudkan kelas digital di mana  sebahagian masyarakat terpisah daripada arus kemajuan teknologi sekali gus mencetuskan perpecahan sosial yang lebih ketara.

 

 

Sunitha Kanakarajo
                          Sunitha Kanakarajo

 

 

Oleh itu, isu jurang digital dalam kalangan masyarakat desa tani adalah penting untuk memahami implikasi sosioekonomi serta membantu dalam pembentukan dasar atau polisi yang dapat mengatasi ketidakseimbangan ini.

 

Salah satu isu utama yang dihadapi oleh masyarakat desa tani adalah kebolehcapaian jaringan internet yang terhad menjadi proses penghalang utama dalam pembangunan pertanian moden di desa.

 

Walaupun teknologi moden seperti automasi, data besar dan sistem pemantauan pintar semakin digunakan untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya petani sering kali terhalang dalam mengakses teknologi ini.

 

Dalam konteks ini, Bourdieu (1986) menegaskan bahawa individu dalam masyarakat mempunyai akses yang berbeza kepada pelbagai bentuk modal sosial seperti rangkaian sosial dan sokongan komuniti.

 

Dalam konteks jurang digital di desa, kekurangan modal budaya iaitu pengetahuan dan kemahiran sering menjadi halangan utama kepada penduduk desa untuk mengakses teknologi digital.

 

Selain itu, petani desa yang kurang berpendidikan digital dan tidak memiliki akses kepada infrastruktur seperti kadar kebolehcapaian internet yang rendah serta kekurangan modal digital menyebabkan mereka terpinggir dari kemajuan dalam sektor pertanian moden yang secara tidak langsung menghalang peningkatan taraf hidup mereka.

 

Menurut laporan Jurang Digital di desa 2024 diterbitkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKMM) tanaman industri menunjukkan tiga pola gelagat, terutama kelapa sawit, getah dan koko menghampiri kepupusan malah lebih 90 peratus penanaman kelapa sawit dan getah adalah tanaman tunggal baik estet mahu pun kebun kecil.

 

Lantas tanaman ini terdedah kepada risiko harga merudum dan bahana ekologi terutama penyakit.

 

Tambahan pula, beberapa langkah boleh diambil untuk mengatasi kebolehcapaian teknologi yang tidak sekata di desa, iaitu meningkatkan akses jalur lebar.

 

 

parafrasa

 

 

Contohnya, program Pertanian Pintar di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 menekankan penggunaan rangkaian 5G atau fiber optik untuk menghubungkan petani dengan pasaran dalam talian akan mempercepatkan pengagihan maklumat penting mengenai harga pasaran atau teknik pertanian terbaik.

 

Selanjutnya, Rangka Tindakan MYDIGITAL dalam konteks pertanian bertujuan untuk menyarankan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) yang membolehkan pemantauan dan pengurusan ladang secara        automatik.

 

Hal ini dikatakan demikian kerana, teknologi ini membantu mengurangkan penggunaan sumber secara lebih cekap seperti baja organik yang menjimatkan kos serta menggalakkan kesuburan dan perkembangan hasil tanaman yang maksimum.

 

Seterusnya, pengetahuan pelajar tentang ilmu teknologi yang masih lemah menjadi penyebab utama kepada ancaman kemiskinan digital di Malaysia kerana telah mendedahkan realiti ketidaksamaan kehidupan masyarakat sehingga mengganggu prestasi pembelajaran pelajar.

 

Sebelum ini, isu yang dibincangkan adalah mengenai jurang dan strata masyarakat sahaja. Dunia pada hari ini sedang berkembang mengejar Revolusi Industri 4.0 seiring dengan perkembangan zaman teknologi canggih.

 

Menurut Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2024) sebanyak 79% pelajar di desa menghadapi masalah liputan internet yang terhad dan kekurangan teknologi pintar yang menjadi penghalang utama dalam pelaksanaan silibus kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum persekolahan.

 

Pemilikan alat digital ini perlu selari dengan pengetahuan teknologi yang dimiliki oleh pelajar. Pengetahuan teknologi pelajar membimbangkan apabila masih terdapat sebilangan kurang mahir dalam mengendalikan peralatan gajet dan teknologi yang sedia ada.

 

Natijahnya, pengetahuan yang terhad dalam pengendalian teknologi digital ini berlaku disebabkan oleh rendahnya kekerapan penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan di Malaysia.

 

 

parafrasa

 

 

Selanjutnya, jurang antara masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan desa merupakan salah satu faktor fizikal yang membawa kepada masalah kemiskinan digital.

 

Walaupun pelbagai alternatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk membasmi masalah ini  serta merapatkan jurang antara bandar dan desa seperti menyelesaikan masalah rangkaian internet kepada masyarakat desa-tani yang masih berleluasa sehingga ke hari ini, masalah ini tetap wujud.

 

Kerajaan juga telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk memastikan masyarakat desa tidak ketinggalan dalam mengecap manfaat dan akses internet.

 

Oleh itu, isu ini boleh dikaitkan dengan teori startifikasi sosial iaitu akses kepada sumber seperti pendidikan dan teknologi yang diagihkan secara tidak seimbang kepada pelajar desa.

 

Justeru itu, ketidaksamaan sosial bukan sekadar berlaku pada peringkat individu tetapi juga merupakan hasil struktur dan sistem sosial yang membatasi akses dan peluang bagi golongan tertentu.

 

Secara realitinya, pelajar tinggal di kawasan desa berpotensi besar untuk berhadapan dengan keciciran di dalam pelajaran akibat daripada kesukaran dalam mendapatkan rangkaian internet.

 

Hal ini boleh dilihat sebagai refleksi kepada struktur ketidaksamaan kelas yang diungkapkan oleh Karl Marx, di mana kemiskinan digital ini mencerminkan pelajar desa dari keluarga berpendapatan rendah tidak berpeluang untuk menikmati akses yang sama sekali gus menyebabkan mereka semakin terpinggir akibat kemudahan teknologi yang dikuasai oleh kelas atasan yang tinggal di bandar.

 

 

parafrasa

 

 

Justeru itu, keluarga B40 yang tinggal di desa mempunyai masalah kewangan dilihat akan terkesan untuk menyediakan keperluan yang terbaik kepada anak-anak mereka dari segi keperluan gajet, pembelian data atau internet dan sebagainya.

 

Dalam konteks ini, penduduk desa mempunyai kurang kemahiran dan pengetahuan terutama dalam menjana pendapatan tinggi. Hal ini demikian kerana, mereka kurang mempunyai pengetahuan tentang akses perniagaan sendiri dalam talian.

 

Justeru, mereka yang bekerja sebagai buruh terpaksa bergantung pendapatan minimum yang sedia ada. Kesempitan hidup yang dialami oleh mereka memberi impak kepada keperluan anak untuk belajar ekoran daripada ibu bapa yang tidak mempunyai ekonomi kewangan yang stabil.

 

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (2024), dapatan kajian mengenai tahap kompetensi digital mencatatkan sebanyak 2.2% pelajar berada pada tahap lanjutan manakala 39.9% berada pada tahap asas.

 

Oleh itu, terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi isu kemiskinan digital dan kelemahan pengetahuan pelajar terhadap teknologi ialah pengenalan program latihan kemahiran digital secara   menyeluruh untuk komuniti desa.

 

Ia adalah penting bagi mengurangkan jurang digital dan meningkatkan keupayaan mereka dalam era Revolusi Industri 4.0.

 

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mempergiatkan projek seperti Kampung Pintar Digital yang berperanan untuk menyediakan jaringan internet menggunakan (6-way MOCN) kepada penduduk pedalaman menerusi projek Pihak Berkuasa Pendidikan Multimedia Telekomunikasi Pintar (SMART).

 

Program ini bertujuan melatih pelajar dalam penggunaan aplikasi pembelajaran dalam talian sementara ibu bapa dikategorikan sebagai golongan B40 pula boleh diajar tentang cara menggunakan teknologi untuk meningkatkan kemahiran pekerjaan atau membuka peluang perniagaan dalam talian.

 

 

parafrasa

 

 

Akhir sekali, Pelan Jalur Lebar Kebangsaan (PJLK) merupakan polisi ataupun strategik kerajaan      Malaysia bertujuan untuk mengatasi isu jurang digital di desa.

 

Polisi ini membantu meningkatkan  akses kepada rangkaian internet melalui pembangunan infrastruktur jalur lebar.

 

Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan dalam pelaksanaan polisi iaitu kos yang tinggi. Kelajuan yang rendah dan harga jalur lebar yang tinggi adalah kekangan dalam pembangunan teknologi digital di  Malaysia.

 

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan, perubahan teknologi yang pantas dan penggunaan yang rendah menjadi cabaran di desa khususnya dalam aktiviti perniagaan.

 

Pada masa ini, Malaysia menduduki tempat kelima selepas Singapura, Vietnam, Brunei dan Myanmar dalam kalangan negara Asia Tenggara dari segi purata kelajuan rangkaian 5G.

 

Di samping itu indeks penggunaan digital oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah rendah berbanding negara lain di rantau ini.

 

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah menjalin hubungan dengan projek starlink oleh SpaceX telah menawarkan akses internet berkelajuan tinggi dengan kos yang lebih rendah berbanding satelit geostasioner.

 

 

parafrasa

 

 

Teknologi ini berpotensi untuk memperluaskan liputan jalur lebar ke kawasan terpencil dan pedalaman yang sukar dijangkau oleh rangkaian konvensional seperti menara telekomunikasi High Link Rural (HLR).

 

Kesimpulannya, ketidakmampuan masyarakat desa untuk mengakses dan menguasai teknologi menyebabkan mereka terpinggir dari arus pembangunan digital dan ekonomi.

 

Sehubungan itu, para pakar perancang sosial perlu memanfaatkan ilmu sosiologi untuk merangka pendekatan yang lebih berkesan dalam memperkasa pengetahuan dan kemahiran teknologi di desa.

 

Menerusi penyelidikan dan pembangunan masyarakat pedalaman yang fokus kepada keperluan masyarakat desa-tani dapat dikenal pasti bagi merangka strategi yang relevan.

 

Usaha ini bukan sahaja dapat merangsang transformasi industri tradisional desa sekaligus menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG) khususnya Matlamat ke-9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan Matlamat ke-10 iaitu mengurangkan ketidaksamaratan digital dan pembangunan desa ke arah inklusif dan berdaya saing. - DagangNews.com

 

Sunitha Kanakarajo adalah pelajar Antropologi Sosiologi Tahun 3 di Universiti Kebangsaan Malaysia