Pasaran berakhir lemah, saham Petronas Dagangan, KLK, Top Glove catat kerugian | DagangNews Skip to main content

Pasaran berakhir lemah, saham Petronas Dagangan, KLK, Top Glove catat kerugian

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Bursa tempatan akhiri dagangan minggu ini dengan lemah yang menyaksikan saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) antara mendahului kaunter rugi. 

 

Indeks utama FBM KLCI ditutup 6.75 mata atau 0.43% lebih rendah kepada 1,548.51 setelah bergerak antara 1,543.08 hingga 1,556.74 mata sepanjang hari ini.

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 620 berbanding 470 manakala 411 tidak berubah dan 766 tidak diniagakan.

 

Bagi kaunter rugi, Petronas Dagangan susut 76 sen kepada RM19.02 manakala KLK susut 26 sen kepada RM20.24 ketika ditutup petang ini. 

 

Turut mengheret turun indeks utama termasuklah saham berkaitan sarung tangan getah selepas Top Glove Corp. Bhd. melaporkan prestasi kewangan suku keempat yang kurang memberangsangkan. 

 

Untung bersih Top Glove bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2021 merosot sehingga 70.14% suku ke suku kepada RM607.95 juta berbanding RM2.04 bilion bagi suku ketiga.

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, untung bersih juga susut 48.37% daripada RM1.18 bilion pada suku keempat 2020. 

 

Petang ini, saham Top Glove susut 14 sen atau 4.38% kepada RM3.06 dengan 63.6 juta saham diniagakan menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM25.11 bilion.

 

Selain itu, Kossan Rubber Industries Bhd. juga susut 16 sen kepada RM2.60 manakala Supermax Corp. Bhd. susut 1 sen kepada RM2.58. Sebaliknya, Hartalega Holdings Bhd. menokok 15 sen kepada RM6.40. 

 

Saham Genetec Technology Bhd. pula terus mengungguli kaunter untung dengan menokok 84 sen kepada RM36.02 diikuti Fraser & Neave Holdings Bhd. naik 52 sen kepada RM27.56. 

 

Petronas Gas Bhd. turut mendahului kaunter untung dengan menokok 50 sen kepada RM17.38 dalam penutupan petang ini. 

 

Sementara itu, kaunter aktif didahului dengan saham KNM Group Bhd. dan Dagang Nexchange Bhd. masing-masing menokok 0.05 sen kepada 26.5 sen dan 4 sen kepada 80 sen.

 

Pada masa sama, Emico Holdings Bhd. turut berakhir di kaunter aktif dengan harga sahamnya menokok 14 sen kepada 66.5 sen manakala TFP Solutions Bhd. menokok 0.05 sen kepada 22.5 sen. 

 

Dalam pada itu, Reuters melaporkan pasaran saham Asia mengukuh pada Jumaat selepas mengalami kerugian pada awal minggu ini.

 

Namun, kebimbangan terhadap data ekonomi China dan pertumbuhan ekonomi global turut mempengaruhi sentimen pelabur. 

 

Bagi pasaran kewangan, petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1700/1740 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada penutupan Rabu, RM4.1570/1590. - DagangNews.com