Pasaran buruh dijangka raih manfaat daripada peningkatan pasaran domestik, antarabangsa - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pasaran buruh dijangka raih manfaat daripada peningkatan pasaran domestik, antarabangsa - Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Pasaran buruh Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada pasaran domestik dan antarabangsa yang bertambah baik dalam tempoh terdekat, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata jangkaan tersebut disokong oleh peningkatan indeks pengurus pembelian (PMI) terkini, yang berada pada 47.9 bagi November berbanding 46.8 pada Oktober dan penguncupan eksport yang lebih lemah, iaitu pada 4.4% pada Oktober daripada 13.8% dalam September.

 

Firma itu berkata ini akan terus disokong oleh permintaan teguh domestik, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan menjelang akhir tahun dan musim perayaan, di samping kemasukan pelancong.

 

Menurut Kenanga Research, pemberhentian pengambilan pekerja asing yang terus dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pengambilan dan gaji tempatan.

 

"Ini akan diperkukuh oleh Dasar Gaji Progresif (PWM) kerajaan yang akan datang, bertujuan untuk meningkatkan gaji tenaga kerja rendah dan separuh mahir.

 

"Unjuran kerajaan mencadangkan bahawa PWM boleh mengurangkan kadar pengangguran sehingga 0.35%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Oktober, di mana kadar pengangguran secara konsisten kekal pada 3.4%, seperti yang dilihat dalam September.

 

Kenanga Research berkata kestabilan ini menunjukkan landskap pekerjaan yang berdaya tahan, mengimbangi ketersediaan pekerjaan dan penyertaan tenaga kerja di negara ini.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah penganggur menurun 3.4% kepada 570,900 orang pada Oktober 2023 – DOSM

 

 

Oleh itu, firma tersebut menjangkakan pasaran buruh meneruskan prestasi teguhnya dalam tempoh terdekat dan sepanjang 2024.

 

“Ramalan tidak berubah kami, kecuali keadaan tidak dijangka, meramalkan purata  kadar pengangguran akan berakhir pada 3.5% bagi 2023 berbanding 3.8% dalam 2022 dan berkurang lagi kepada 3.3% pada 2024," tambahnya.

 

Kenanga Research berkata prospek tersebut disokong oleh jangkaan peningkatan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2024 sebanyak 4.9%, meningkat daripada unjuran 3.5% hingga 4% pada 2023 berbanding 8.7% tahun sebelumnya. - DagangNews.com