Pasaran 'dihantui' kebimbangan jangkitan global COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Pasaran 'dihantui' kebimbangan jangkitan global COVID-19

 

 


KUALA LUMPUR 24 Mac - Pasaran saham tempatan kembali meningkat ketika mengakhiri dagangan petang ini, berlegar melebihi paras 1,600 mata di sebalik kebimbangan jangkitan COVID-19 yang meningkat semula di peringkat global. 

 

Indeks FBM KLCI ditutup 7.11 mata lebih tinggi kepada 1,602.40 dengan jumlah dagangan sebanyak 6.9 bilion bernilai RM3.54 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 633 berbanding 438 manakala 476 kaunter tidak berubah. 

 

Walaupun indeks dibuka lemah dalam dagangan awal pada 1,591.66 mata tetapi ia kembali melonjak setelah berakhir sesi tengah hari didorong aktiviti pemburuan bagi saham-saham bernilai tinggi seperti IHH Healthcare, MISC Berhad dan Digi. 

 

Di peringkat domestik, Jabatan Perangkaan melaporkan prospek ekonomi negara bagi jangka pendek kekal optimis apabila Indeks Pelopor (IP) meningkat kepada 110.0 mata pada Januari 2021 daripada 101.7 mata pada bulan yang sama tahun lalu. 

 

Ini secara tidak langsung menyuntik sedikit momentum kepada pasaran saham tempatan yang kurang daya pemangkin. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit melemah dalam penutupan petang ini, susut kepada RM4.1280/1330 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Semalam, mata wang itu ditutup pada RM4.1200/1250 berbanding dolar AS, di tengah-tengah persekitaran kes COVID-19 meningkat semula di peringkat global yang telah menjejaskan sentimen pelabur.

 

Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota kajian berkata, pasaran saham Eropah ditutup kebanyakannya rendah, manakala pasaran saham Asia ditutup kebanyakannya rendah berikutan pusingan baharu sekatan di China susulan pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.

 

"Wall Street mencatatkan satu lagi kemerosotan berikutan Dow Jones merosot 0.95, didorong oleh peningkatan mendadak kes COVID-19 di peringkat global yang boleh menjejaskan kadar pemulihan ekonomi," katanya. 

 

Sementara itu, menurut Reuters, kebanyakan pasaran saham Asia merosot pada Rabu ekoran perintah sekatan terbaharu di Eropah membantutkan selera untuk mata wang dan saham yang sensitif risiko di Asia, pasaran yang semakin tidak stabil yang sebelum ini dihantui dengan kebimbangan kenaikan inflasi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

 

Pakar Strategi Kewangan dan Ahli Ekonomi Kanan Commonwealth Bank, Kim Mundy berkata, prospek ekonomi masih lagi bergantung kepada sejauh mana menularnya wabak ini. 

 

"Risikonya adalah apabila wabak ini semakin merebak, ia memerlukan tindak balas daripada kerajaan di negara-negara Eropah yang akan menyaksikan Eropah kekal dalam perintah sekatan lebih lama," katanya. 

 

Jerman dilaporkan melanjutkan perintah sekatan sehingga 18 April ini susulan jangkitan baharu COVID-19 meningkat sehingga 7,485 kes dengan jumlah harian melebihi 2,000 kes, lebih tinggi berbanding seminggu lalu. 

 

Agensi kesihatan AS berkata, vaksin COVID-19, AstraZeneca Plc. yang dibangunkan dengan Oxford University mungkin memasukkan data maklumat yang lapuk, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur ke arah pemulihan tersebut.

 

Menambah kerisauan pelabur juga, Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen pada Selasa memberitahu Kongres bahawa ekonomi AS masih berisiko. - DagangNews.com