KUALA LUMPUR 1 Nov - Pasaran saham tempatan telah pulih secara positif daripada paras terendah 1,373.36 mata pada 13 Oktober 2022 ke paras semasa, didorong oleh pengesahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal menjadi pilihan sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional menang PRU15.
"Ini menyediakan elemen penting bagi kesinambungan dan kestabilan kerajaan semasa dan dasar-dasarnya," kata pakar ekonomi, Manokaran Mottain dalam nota penyelidikan mingguannya di DagangNews.com.
Menurutnya, beliau menjangkakan Indeks KLCI akan didagangkan antara 1,420 –1,480 mata pada minggu-minggu akan datang.
Beliau berkata, pasaran ekuiti tempatan mengakhiri minggu lepas hampir tidak berubah selepas berlaku beberapa rali mendadak minggu sebelumnya.
"Penanda aras Indeks KLCI mengakhiri minggu lepas hanya sedikit lebih tinggi pada 1,447.31 mata (-0.89 mata) dalam dagangan kurang bersemangat dengan nilai dagangan harian masih kekal di bawah RM2.0 bilion sehari," katanya..
Manokaran berkata, keadaan tersebut didorong oleh hasil bon yang merentas keluk tempoh jatuh semula berikutan pencarian murah apabila pelabur bon mula membina semula kedudukan dengan menjangkakan Rizab Persekutuan AS menghampiri titik pangsi untuk dasar kadar faedah mereka.
Walau bagaimanapun ujar beliau, pertumbuhan KDNK sebanyak 2.6% yang kukuh yang dicatatkan oleh ekonomi AS untuk 3Q2022 yang lebih baik daripada jangkaan pasaran sebanyak 2.3% pada asasnya menafikan sebarang sebab yang berpotensi untuk Rizab Persekutuan AS tidak menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak 75 mata asas.
"Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran (FOMC) minggu akan datang. Namun begitu, peserta pasaran akan memantau dengan teliti nada Rizab Persekutuan AS mengenai prospek inflasi mereka untuk 2023," kata beliau.
Beliau juga mengulas mengenai Indeks Peneraju (LI) Malaysia meningkat 4.5% tahun ke tahun kepada 111.3 mata pada Ogos 2022 berbanding 107.0 mata pada Ogos 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM),
LI ialah alat ramalan yang digunakan untuk meramalkan potensi pusingan naik dan turun ekonomi antara empat hingga enam bulan lebih awal.
Jumlah positif bagi Ogos adalah disebabkan oleh peningkatan dalam bilangan unit rumah yang diluluskan, import sebenar logam berharga dan bukan ferus asas lain serta bilangan syarikat baharu yang didaftarkan.
"Walaupun tanda-tanda positif untuk negara mengekalkan momentum pertumbuhannya (LI >100 mata), prestasi sebenar akan bergantung kepada inisiatif yang diambil untuk menangani isu kos sara hidup dan mengurangkan kesan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan," ujar Manokaran.
Mengenai mata wang Ringgit, beliau percaya Ringgit hanya akan kembali kukuh berbanding mata wang utama sebaik sahaja keadaan politik negara telah dimuktamadkan menerusi PRU15 kelak. - DagangNews.com