Pasaran saham Malaysia terus jatuh | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham Malaysia terus jatuh

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Prestasi pasaran saham Malaysia yang berlegar dalam lingkungan 1,610 semalam kini terus menjunam di bawah paras 1,600. 

 

Nampaknya, desas-desus mengenai kemungkinan pelaksanaan perintah berkurung sekali lagi di negara ini termasuk pergolakan politik mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur. 

 

Setakat dibuka pada 9 pagi, indeks pasaran tempatan, FBM KLCI merosot 2.44 mata untuk mencecah paras 1,589.53 sebelum merosot lagi sehingga 1,584.78 setelah tiga minit didagangkan awal pagi ini. 

 

Ini menjadikan prestasi dagangan pagi ini hampir menyusut 10 mata asas indeks. 

 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa Malaysia mungkin melaksanakan pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersasar susulan kes jangkitan COVID-19 membimbangkan. 

 

Beliau dalam sidang akhbar khas berkata, sistem penjagaan kesihatan kini ‘bergelut’ untuk mengendalikan sejumlah besar pesakit COVID-19.

 

Dalam masa sama, parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu UMNO pulak menyaksikan pergolakan dalaman. 

 

Menurut Rakuten Trade Research, situasi kini lebih rumit dengan berita kemungkinan perintah berkurung di beberapa buah negeri selain pelaksanaan pilihan raya umum. 

 

“Oleh itu kami menjangkakan FBM KLCI yang menyaksikan penjualan besar semalam mungkin berdepan cabaran. 

 

“Namun, kami menjangkakan pelabur mungkin memburu saham murah, oleh itu indeks diunjur berlegar dalam julat 1,585/1,600,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajian pasarannya hari ini. 

 

Sementara itu, niaga hadapan minyak sawit mentah telah mencecah RM4,000 setiap tan metrik dengan minyak Brent ditutup lebih tinggi, AS$54.30 setong susulan penurunan kadar pengeluaran.

 

Di peringkat global, walaupun terdapat protes di Capitol Hill, Wall Street tetap melonjak ke paras tertinggi. 

 

Dalam masa sama, para pelabur masih meletakkan harapan ke atas pakej rangsangan tambahan di Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Joe Biden. - DagangNews.com