Pasaran Saham Malaysia terus kekal jadi tarikan pengurus dana dan pelabur asing | DagangNews Skip to main content

Pasaran Saham Malaysia terus kekal jadi tarikan pengurus dana dan pelabur asing

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangNews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Okt  Pengurus dana dan pelabur asing terus berminat untuk melabur di pasaran saham Malaysia, menurut Remisier, Maybank Investment Bank Bhd, Jeffry Azizi Jaafar.

 

Katanya, antara faktor penarik bagi pengurus dana dan pelabur asing melabur di Pasaran Malaysia adalah, dengan kesungguhan kerajaan dalam memberi vaksin kepada rakyat selain membuat keputusan tepat dalam membuka semula sektor ekonomi dan pelancongan.

 

“Pelabur asing lebih berminat melabur dalam syarikat yang mempunyai nilai di bawah harga pasaran dan syarikat mempunyai fundamental kukuh di pasaran saham Malaysia,” katanya dalam temubual eksklusif bersama DagangNews.com hari ini.

 

Menurut Jeffry, berdasarkan indeks pasaran FBMKLCI sejak 1 Oktober 2021 hingga 20 Oktober 2021, indeks telah melonjak 81.84 mata daripada 1,524.48 kepada 1,606.32.

 

Indeks pasaran telah menguji paras psikologi 1,600 dan sehingga 22 Oktober 2021 indeks membuat pembetulan sekitar 1,588.08 mata.

 

Pergerakan index FBMKLCI positif di sumbang dengan kemasukan dana asing  bersih RM 1.1 bilion pada bulan Ogos tahun ini selepas mencatat aliran keluar dana asing bersih sebanyak 25 bulan berturut-turut.

 

“Dengan tahun 2021 hanya berbaki satu bulan lebih lagi, pasaran dilihat lebih bergerak mendatar sekitar 1,580 mata hingga 1,590 mata.

 

“Menjelang 2022, pasaran saham Malaysia dijangka lebih rancak dengan pengumuman belanjawan lebih tertumpu pada pemulihan ekonomi negara,” ujarnya.

 

Katanya, berdasarkan Indeks pasaran saham dijangka melepasi tahap 1,600 mata pada awal tahun 2022 dan menuju sekitar 1,630 mata.

 

 

Jeffry Azizi Jaafar
                                 Jeffry Azizi Jaafar

 

 

Menurut Jeffry, sebelum ini ketidakstabilan politik memberi impak terhadap minat belian saham kerana para pelabur bersikap lebih berhati-hati terhadap keputusan pelaburan.

 

Katanya, pandemik COVID-19 telah pun masuk pada fasa pemulihan yang mana lebih daripada separuh rakyat Malaysia sudah lengkap divaksin, sektor pelancongan kembali bernafas dan positif jika dibandingkan tahun 2020 yang mana sektor pelancongan antara sektor yang teruk terjejas akibat perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

 

“Dengan pembukaan semula sektor pelancongan, dan kebenaran merentas negeri bagi yang telah lengkap  dua dos suntikan vaksin COVID-19, ini dapat menjadi pemangkin kepada sektor ekonomi dan perniagaan.

 

Jumlah kes jangkitan harian COVID-19 menunjukkan trend penurunan dan terkawal membeli keyakinan para pelancong dan peniaga untuk kembali beroperasi seperti sebelum pandemik COVID-19 ini berlaku,” jelas Jeffrey.

 

Dengan pelantikan Perdana Menteri yang ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini juga dapat memberi impak positif terhadap situasi politik negara dan keputusan penting seperti pembukaan sektor ekonomi negara ini.

 

“Antara sektor yang mendapat impak positif dalam pasaran saham adalah produk & perkhidmatan perindustrian, teknologi, pengangkutan & logistik dan produk & perkhidmatan pengguna,” kata Jeffry.

 

Menyentuh situasi minat pelabur ketika ini, beliau berkata, minat pelabur masih lagi kekal dengan tema pemulihan ekonomi dengan sektor perindustrian, logistik, dan teknologi.

 

Ditanya tentang saham yang berpotensi bagi pelabur, Jeffry berkata, antara yang berpotensi termasuk Hongseng (Teknologi), KGB (Perindustrian), Glotec (Perindustrian), Resintc (Perindustrian),  dan Harbour (Logistik). – DagangNews.com