Pasir naik harga 13.5% pada Mei 2024 berbanding setahun lalu - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pasir naik harga 13.5% pada Mei 2024 berbanding setahun lalu - DOSM

Purata harga beberapa bahan binaan terpilih pada Mei 2024 didapati naik YoY, lapor DOSM. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jun - Purata harga pasir di Malaysia mencecah RM48.33 satu tan pada Mei 2024, meningkat 13.5% berbanding setahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Dalam laporan Indeks Kos Bahan Binaan Mei 2024, DOSM turut merekodkan peningkatan harga beberapa lagi bahan binaan terpilih antaranya simen Ordinary Portland, bar bulat keluli lembut dan batu baur. 

 

 

"Batu baur naik 0.2% MoM atau 3.8% YoY kepada RM44.12 satu tan pada Mei 2024 manakala bar keluli lembut berjumlah RM3,922.40, naik 2.9% YoY atau 1.1% MoM.

 

 

dosm

 

"Purata harga simen Ordinary Portland pula mencatatkan peningkatan kecil (0.1%) dengan purata harga RM23.04 setiap 50 kg sekarung berbanding April 2024 (RM23.01 per 50 kg sekarung)," katanya hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit papan lapis mencatatkan peningkatan 1.6% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Selain daripada itu, katanya, indeks harga seunit batu baur merekodkan peningkatan antara 0.2% hingga 1.7% bagi kebanyakan kawasan pada Mei 2024 berbanding bulan lepas.

 

"Peningkatan tertinggi di Perak (1.7%), diikuti dengan kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.8%) dan kawasan Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka & Negeri Sembilan (0.2%)," katanya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia itu turut menyatakan bahawa perbandingan bulanan mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi besi bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

Katanya, terdapat peningkatan kecil dalam indeks harga bahan ini di kawasan Kuching (1.0%) dan Kota Kinabalu (0.2%).

 

"Sementara itu, penurunan dalam indeks harga bahan ini direkodkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-0.1%) dan Tawau (-0.2%).

 

"Perbandingan bulanan turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Mei 2024. 

 

"Namun begitu, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi kawasan Terengganu & Kelantan (0.5%) dan Perak (0.4%)," jelasnya.

 

Dalam pada itu, DOSM berkata, satu artikel di laman web World Bank pada Mei 2024 menunjukkan indeks harga logam dan mineral meningkat 9% pada April 2024 (bulan-ke-bulan). 

 

"Kenaikan harga baru-baru ini mencerminkan sentimen positif tentang permintaan yang lebih kukuh di tengah-tengah kebimbangan gangguan bekalan untuk beberapa logam utama. 

 

"Harga logam asas dijangka kekal stabil pada 2024, sebelum meningkat sedikit pada 2025. Rangsangan tambahan dalam sektor hartanah di China dan gangguan bekalan merupakan risiko kenaikan utama dalam ramalan Harga," kata DOSM.- DagangNews.com