PDRM terima 7,000 unit kamera badan tahun hadapan libatkan kos RM30 juta bagi kegunaan penguatkuasaan | DagangNews Skip to main content

PDRM terima 7,000 unit kamera badan tahun hadapan libatkan kos RM30 juta bagi kegunaan penguatkuasaan

Penggunaan kamera badan akan membantu PDRM dalam meningkatkan aspek penguatkuasaan dan cegah jenayah.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 11 Sept - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima kira-kira 7,000 unit kamera badan pada awal tahun depan untuk meningkatkan profesionalisme badan penguat kuasa itu dalam melaksanakan tugas membanteras jenayah. 

 

Pembelian ini melibatkan alat-alat sokongan lain seperti sistem, peralatan sokongan dan latihan dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta.

 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembelian alatan kamera badan tersebut telah pun diluluskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan taraf profesional PDRM.

 

"Jumlah kamera badan yang diterima ini nanti untuk dibekalkan bagi kegunaan penguatkuasaan unit rondaan bermotor (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) serta trafik dalam menangani jenayah komuniti.

 

Kamera
Penggunaan kamera badan dapat memudahkan anggota PDRM mengumpul bahan bukti selain mengelak manipulasi pihak lain.

 

"Kalau diikutkan lebih banyak kamera badan diperlukan untuk dilengkapkan pada pelbagai unit PDRM tetapi sebagai permulaan keutamaan adalah pada unit URB dan MPV untuk meningkatkan integriti pasukan polis," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar semasa menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke-44 di Pangkalan Latihan Udara PGU di sini.

 

Katanya, penggunaan kamera badan itu akan memudahkan pengumpulan bahan bukti selain mengelak manipulasi oleh mana-mana pihak.

 

Kerajaan pada Disember lalu telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menyegerakan perolehan kamera badan untuk PDRM.

 

Polis
Polis Singapura telah menggunakan kamera badan sejak tahun 2015.

 

Hoong
Anggota polis Hong Kong.

 

 

Difahamkan, sebanyak 129 syarikat telah mengemukakan tender untuk mendapatkan kontrak tersebut yang dinilai oleh Kementerian Dalam Negeri.

 

Pada April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu kini dalam fasa terakhir yang melibatkan penelitian oleh jawatankuasa penilaian.

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula telah menjalankan kajian mengenai penggunaan kamera badan yang akan dipertimbangkan bagi kegunaan anggota penguatkuasa di lapangan.

 

Ia termasuk menilai keupayaan kamera badan dan keberkesanannya dalam meningkatkan integriti anggota lapangan semasa aktiviti penguatkuasaan.

 

Kamera
Kamera badan yang dibekalkan kepada pengawai SPRM.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula telah membeli 142 unit kamera badan untuk dilengkapkan kepada pegawainya.

 

Kamera badan ini digunakan semasa menjalankan operasi tangkapan, penyitaan dan penggeledahan. 

 

Kamera badan telah lama digunakan anggota penguat kuasa di luar negara khususnya di barat bagi meningkatkan aspek penguatkuasaan dan integriti.

 

Polis Singapura misalnya telah menggunakan kamera badan sejak tahun 2015 mengikuti langkah polis Hong Kong. - DagangNews.com