Pekebun kecil, firma senaraian awam disaran beri tumpuan prospek jangka panjang sektor perladangan - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Pekebun kecil, firma senaraian awam disaran beri tumpuan prospek jangka panjang sektor perladangan - Zuraida

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Peladang sawit sama ada pekebun kecil atau firma senaraian awam di Bursa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada prospek jangka panjang sektor perladangan itu, apabila harga minyak sawit mentah (MSM) berkemungkinan mencapai satu tahap yang tinggi.

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sektor sawit pada masa ini juga mempunyai kekuatan daya tahan, khususnya ketika situasi ekonomi dunia diramalkan tidak menentu yang akan memberi kelebihan kepada sektor perladangan untuk meraih manfaat daripada inflasi makanan dan tenaga.

 

“Sekali imbas, masa depan minyak sawit diunjurkan cerah. Sukar untuk menggantikan 'minyak emas' ini dengan sepenuhnya berikutan kepentingannya dalam rantaian makanan manusia.

 

“Apatah lagi, minyak sawit sangat berdaya saing dan hasil ladang  ini ada pelbagai kegunaannya sebagai minyak masak untuk menggoreng dengan suhu tinggi sehinggalah dijadikan lelemak, selain boleh menjadi bahan pengganti yang lebih berdaya saing untuk beberapa produk petrokimia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, walaupun dalam tempoh terdekat, harga MSM masih diramalkan sukar melonjak kerana Indonesia dilihat akan terus meningkatkan eksport produk itu bagi menangani inventori minyak sawitnya yang tinggi, namun penganalisis pasaran secara umumnya mengunjurkan harga MSM bakal disokong proses pemulihan yang kukuh sehingga penghujung 2022.

 

“Harga minyak makan pada separuh kedua 2022 yang lemah sebenarnya bukan satu keadaan yang luar biasa. Ini berlaku disebabkan perubahan musim, yang menyaksikan kadar pengeluaran lebih tinggi bagi dua jenis tanaman menghasilkan minyak makan, iaitu soya dan sawit,” katanya.

 

Beliau berkata, biarpun pelbagai tuduhan dilemparkan kepada sektor itu, kesan daripada penanaman pokok-pokok sawit terhadap alam sekitar sebenarnya sangat kecil berbanding tanaman bagi menghasilkan minyak makan yang lain berikutan produktiviti sawit berasaskan setiap hektar adalah sangat tinggi.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Dalam istilah yang lebih luas katanya, sektor perladangan Malaysia secara keseluruhannya berjaya menguruskan isu-isu berkaitan kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sehingga mencapai standard yang tinggi dalam pertanian.

 

"Walaupun turun naik harga MSM tidak boleh dielakkan, pemerhati pasaran masih mengunjurkan harganya mampu kekal kukuh dengan sokongan faktor-faktor, termasuk permintaan diunjur pulih dengan lebih kukuh tahun depan di tengah-tengah pertambahan populasi dan kekayaan yang menyumbang kepada pertumbuhan permintaan tahunan sebanyak 3.6% dalam tempoh 30 tahun.

 

“Bagaimanapun sejak 2022, impak COVID-19 menjejaskan pertumbuhan kepada hanya kira-kira 1.0%, namun permintaan dijangka meningkat semula kepada 3.0% pada 2023, kecuali jika berlaku kemelesetan ekonomi yang teruk,” katanya.

 

Tambah beliau, sokongan permintaan terhadap bio-minyak, termasuk peningkatan harga bahan api fosil menyokong permintaan terhadap minyak makan kerana kira-kira 20% minyak makan diproses menjadi bio-minyak.

 

"Indonesia juga telah menyambung semula usaha untuk mengadun sehingga 40% sawit (B40) bersama bio-minyak selepas menghentikan seketika proses itu berikutan harga minyak sawit yang tinggi sebelum ini. Adunan semasa ketika ini adalah B30,” katanya. - DagangNews.com