Pelabur asing beli RM1.4 bilion ekuiti tempatan minggu lalu, meningkat hampir 5 kali ganda - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM1.4 bilion ekuiti tempatan minggu lalu, meningkat hampir 5 kali ganda - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pelabur asing membeli RM1.4 bilion ekuiti tempatan pada minggu lalu, peningkatan hampir lima kali ganda berbanding RM299.6 juta pada minggu sebelumnya. 

 

MIDF Research berkata, eksport Malaysia melonjak pada kadar terpantas dalam hamper dua tahun, didorong permintaan kukuh untuk komoditi dan elektronik bersama-sama dengan penghantaran yang lebih kepada ekonomi negara maju.

 

Katanya, eksport mencecah RM131.2 bilion pada Julai 2024, peningkatan sebanyak 12.3% dari tahun ke tahun.

 

"Pelabur asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada Jumaat apabila mereka menjual sebanyak RM1.6 juta.

 

"Aliran masuk asing bersih terbesar berlaku pada Isnin, berjumlah RM574.9 juta.

 

"Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM1.3 bilion), utiliti (RM118.9 juta), dan telekomunikasi & media (RM54.8 juta), manakala sektor yang mempunyai aliran keluar asing bersih tertinggi ialah teknologi (RM140.2 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM50.2 juta), dan hartanah (RM25.9 juta)," katanya dalam laporan aliran dana, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan merupakan penjual bersih setiap hari dagangan dan terus mengurangkan ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah jualan bersih RM1.12 bilion.

 

Peruncit tempatan hanya mempunyai pembelian bersih pada Jumaat, berjumlah RM78.2 juta, dan merupakan penjual bersih untuk baki minggu itu.

 

Secara keseluruhan, mereka merupakan penjual bersih dengan jumlah RM284.4 juta,

 

"Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan merentas semua kelas pelabur. 

 

"Pelabur asing mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 35.8%, manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 33.1% dan 19%," katanya.- DagangNews.com