Pelabur asing beli RM741 juta ekuiti tempatan minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM741 juta ekuiti tempatan minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM740.8 juta pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, jumlah itu adalah 54.9% lebih tinggi berbanding minggu lalu. Mereka menjadi pembeli bersih setiap hari selama 15 hari dagangan berturut-turut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing membeli RM326.6 juta pada Isnin, RM64 juta pada Selasa, RM235.9 juta pada Rabu, RM21.3 juta pada Khamis dan RM93.1 juta pada Jumaat.

 

"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM593.1 juta), utiliti (RM137.5 juta) dan hartanah (RM128.7 juta). 

 

"Sektor yang mencatatkan aliran keluar tertinggi ialah teknologi (RM73.8m), tenaga (RM55.1 juta), dan produk & perkhidmatan pengguna (RM21.7 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 19 Julai 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, melupuskan ekuiti sejumlah RM546.7 juta. 

 

Katanya, mereka menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu lalu bagi tujuh hari dagangan berturut-turut.

 

Peruncit tempatan menjadi penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut selepas mencatatkan jualan bersih RM194.2 juta minggu lepas.

 

"Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan dalam kalangan pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing sebanyak 9% dan 3% manakala peruncit tempatan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.1%," katanya.- DagangNews.com