Pelabur asing catat aliran masuk RM448 juta ekuiti tempatan pada 15 hari pertama 2024 – Pengerusi Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing catat aliran masuk RM448 juta ekuiti tempatan pada 15 hari pertama 2024 – Pengerusi Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Jan - Sejumlah RM448 juta dana asing telah masuk ke Bursa Malaysia untuk 15 hari pertama tahun ini yang mendorong FBM KLCI didagang melebihi paras 1,500 pada 15 Januari.

 

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata purata nilai dagangan harian (ADTV) juga melonjak 58% kepada RM3.25 bilion dalam tempoh yang sama.

 

“Jumlah yang dicatatkan untuk ADTV dalam tempoh 15 hari pertama bulan ini adalah 58% lebih tinggi daripada RM2.06 bilion ADTV pada keseluruhan 2023.

 

“Berdasarkan penilaian yang rendah, ditambah pertumbuhan pendapatan korporat dan syarikat tersenarai awam menunjukkan prestasi yang lebih baik, kami berharap pasaran akan terus berkembang pada 2024,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset, seperti dilaporkan NST.

 

Abdul Wahid berkata, Bursa Malaysia masih mendapat perhatian pelabur institusi asing, menyumbang 29.2% daripada pergerakan dagangan pasaran sekuriti bursa itu pada 2023, dari segi ADTV, berbanding 26.8% pada 2022.

 

 

Tan Sri Abdul Wahid Omar
Tan Sri Abdul Wahid Omar

 

 

Indeks penanda aras mencatat peningkatan sihat selepas prestasi separuh pertama 2023 yang lemah, melonjak daripada 1,377 mata pada Jun 2023 dengan penutupan pada 1,454.66 mata.

 

"Secara keseluruhan pada 2023, Malaysia mencatat aliran keluar asing kedua terendah dalam kalangan pasaran sekuriti serantau, dengan aliran keluar AS$509 juta, selepas Indonesia. Sebaliknya, negara lain di rantau ini mengalami aliran keluar antara AS$863 juta hingga AS$5.5 bilion.

 

"FBM KLCI kini dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan hadapan sebanyak 13.3 kali, jauh lebih rendah daripada purata 10 tahun kira-kira 15.5 kali. Oleh itu, kami sudah tentu menjangkakan lebih banyak minat pelabur kelak," tambahnya.

 

Sementara itu, Abdul Wahid berkata ekonomi tempatan terus mempamerkan daya tahan pada 2023 walaupun menghadapi persekitaran operasi yang mencabar akibat cabaran global, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur berkembang sekitar 4% untuk 2023, disokong oleh permintaan domestik yang teguh.

 

"Prospek ekonomi Malaysia pada 2024 juga kekal positif, dengan unjuran kadar pertumbuhan konsensus sebanyak 4.5%, iaitu dalam lingkungan 4% hingga 5%, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada pembentangan Bajet 2024 tahun lepas.

 

“Kerajaan kekal komited terhadap usaha pembaharuan ekonominya untuk menarik pelaburan bernilai tinggi melalui pelan tindakan dan inisiatif pemangkin di bawah rangka kerja ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

 

“Ini bertujuan untuk mengukuhkan pertumbuhan mampan fiskal Malaysia, yang kesemuanya akan membantu meningkatkan ekonomi Malaysia dan memastikan daya saing negara dipertingkat,” katanya.

 

Sementara itu, Bursa Malaysia melancarkan penawaran dan rumusan produk baharu dalam usaha membangunkan pasaran modal dengan menyediakan akses lebih luas untuk penyertaan pelabur.

 

Ia telah melancarkan tiga inisiatif baharu, iaitu platform perdagangan emas patuh syariah Bursa Gold Dinar; portal pelanggan baharu, MyBURSA, serta platform menghubungkan pelabur secara langsung dengan wakil peniaga yang dikenali sebagai Bursa Reach.

 

Bursa Malaysia juga memperkenalkan logo baharu untuk melambangkan transformasinya kepada bursa saham pelbagai aset.  - DagangNews.com