Pelabur asing jual ekuiti tempatan sebanyak RM441.1 juta pada minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual ekuiti tempatan sebanyak RM441.1 juta pada minggu lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Selepas mencatatkan aliran masuk bersih selama dua minggu berturut-turut, pelabur asing bertindak menjual ekuiti tempatan di Bursa Malaysia sebanyak RM441.1 juta pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, mereka menjadi penjual bersih setiap hari dalam minggu dagangan yang dipendekkan sempena cuti Hari Raya Aidiladha pada Isnin.

 

Katanya, mereka mencatatkan jualan sebanyak RM80.3 juta pada Selasa, RM120.3 juta pada Rabu, RM64.7 juta pada Khamis dan RM175.8 juta pada Jumaat.

 

 

"Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah produk & perkhidmatan perindustrian (RM130.4 juta), teknologi (RM65.3 juta) dan Pengangkutan & logistik (RM64.0 juta), manakala sektor yang mempunyai aliran keluar bersih asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM529.9 juta), penjagaan kesihatan (RM56.2 juta) dan perladangan (RM36.4 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 21 Jun 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan kembali mencatatkan belian bersih minggu lepas, berjumlah RM274.0 juta, selepas dua minggu mencatatkan jualan bersih.

 

Katanya, mereka hanya menjadi penjual bersih pada Khamis sebanyak RM27.9 juta manakala menjadi pembeli bersih pada Selasa (RM57.5 juta), Rabu (RM66.9 juta) dan Jumaat (RM177.5 juta).

 

"Peruncit tempatan juga menjadi pembeli beli bersih minggu lepas sebanyak RM167.1 juta selepas menjadi penjual bersih selama dua minggu berturut-turut.

 

"Mereka hanya menjadi penjual bersih sebanyak RM1.7 juta pada hari Jumaat dan menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu.

 

"Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) sebanyak 36.1% dalam kalangan pelabur asing dan penurunan masing-masing sebanyak 18.1% dan 11.1% dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan," katanya. - DagangNews.com