Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Dis - Ekuiti Malaysia menyaksikan aliran keluar asing buat minggu keempat berturut-turut sebanyak RM348.36 juta bagi minggu berakhir 17 Disember, menurut MIDF Research.
Dalam laporan aliran dana mingguannya, firma itu berkata, bagaimanapun, jumlah itu berkurangan berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM383.76 juta.
Katanya, apabila pasaran dibuka Isnin lalu, pelabur asing menjual ekuiti berjumlah RM53.21 juta.
"Pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti setiap hari minggu lalu. Aliran keluar asing paling banyak direkodkan pada Selasa sebanyak RM153.28 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sebaliknya, pelabur runcit pula membeli ekuiti tempatan sebanyak RM44.19 juta apabila pasaran dibuka pada Isnin.
"Sepanjang minggu lalu, mereka membeli sebanyak RM126.45 juta ekuiti di Bursa Malaysia," tambahnya.
Pelabur institusi tempatan turut membeli ekuiti tempatan berjumlah RM9.02 juta pada Isnin lalu dengan aliran masuk paling banyak direkodkan pada Selasa sebanyak RM115.82 juta.
"Mereka membeli sebanyak RM221.92 juta ekuiti sepanjang minggu lalu," firma itu.
MIDF Research berkata, sejak awal tahun ini, pelabur runcit telah membeli sebanyak RM12.44 bilion ekuiti tempatan.
Tetapi, pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing menjual bersih ekuiti berjumlah RM3.13 bilion dan RM9.31 bilion.
Sepanjang minggu lalu, indeks utama FBM KLCI mengukuh 0.88% untuk berakhir pada 1,502.01 mata manakala ringgit menyusut kira-kira 0.18% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.22, Jumaat lalu. - DagangNews.com