KUALA LUMPUR 17 Jan - Pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan yang menyaksikan aliran masuk berjumlah RM397.85 juta bagi minggu berakhir 14 Januari 2022.
Minggu sebelumnya, ia menyaksikan pelabur asing menjual bersih ekuiti sebanyak RM62.15 juta.
Menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan, apabila pasaran dibuka pada Isnin, pelabur asing dan runcit masing-masing membeli RM36.82 juta dan RM5.41 juta ekuiti tempatan.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan menjual sebanyak RM42.23 juta ekuiti tempatan.
"Pelabur asing merupakan penjual bersih ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu. Tetapi aliran masuk asing paling tinggi direkodkan pada Selasa berjumlah RM171.58 juta manakala paling rendah pada Jumaat, RM530,000," katanya dalam laporan tersebut hari ini.
Firma itu berkata, pelabur institusi tempatan pula merupakan penjual ekuiti paling aktif dengan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM167.65 juta.
"Bagaimanapun, ia berbeza bagi pelabur runcit. Pasaran tempatan menyaksikan mereka menjadi pembeli bersih minggu lalu kecuali pada Selasa (RM3.92 juta).
"Pembelian ekuiti paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM113.64 juta manakala paling rendah pada Rabu, RM3.6 juta," katanya.
Secara keseluruhan, MIDF Research berkata, pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing merekodkan pembelian ekuiti yang kukuh bagi minggu kedua 2022 iaitu sebanyak RM397.85 juta dan RM132.79 juta.
Namun, katanya, pelabur runcit pula muncul penjual bersih ekuiti sebanyak RM530.64 juta.
Sepanjang minggu lalu, indeks utama FBM KLCI menokok 0.79% untuk berakhir pada 1,555.33 mata manakala ringgit juga mengukuh 0.7% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.1780 ketika dagangan berakhir pada Jumaat. - DagangNews.com