Pelabur ‘borong’ saham TNB, Hartalega, Petronas Chemicals minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Pelabur ‘borong’ saham TNB, Hartalega, Petronas Chemicals minggu lalu

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaksikan aliran masuk tertinggi dalam tempoh dagangan minggu lalu, berakhir pada 9 Julai 2021 iaitu berjumlah RM3.17 juta. 

 

Walaupun harga saham syarikat utiliti itu berakhir -0.41% lebih rendah pada tempoh berkenaan, namun ia mengatasi Bursa Malaysia yang menyusut -0.83%, menurut MIDF Research. 

 

Prestasi aliran masuk itu diikuti oleh Hartalega Holdings Berhad dan Petronas Chemicals Group Berhad, masing-masing bernilai RM1.99 juta dan RM1.47 juta.

 

“Harga saham (Hartalega) meningkat 1.28% pada minggu berkenaan, mengatasi bursa tempatan yang menyusut -0.83%. 

 

“Namun, dapat diperhatikan bahawa aliran masuk bersih yang berlaku ketika penurunan harga saham mungkin menunjukkan sebilangan pelabur bertindak untuk membeli saham yang lemah,” jelas MIDF dalam satu nota kajian hari ini.

 

Saham Top Glove Corporation Berhad sebaliknya menyaksikan aliran keluar tertinggi bagi tempoh sama, diikuti oleh Serba Dinamik Holdings Berhad dan My E.G. Services Berhad.

 

Secara keseluruhannya, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih bagi tempoh berkenaan, di mana menyaksikan aliran keluar berjumlah -RM323.98 juta. 

 

Ini merupakan aliran keluar mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, tambah MIDF lanjut. 

 

Sebaik pasaran dibuka pada Isnin lepas, pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia bernilai -RM25.70 juta, dengan pelabur runcit membeli bersih dan institusi tempatan menjual bersih, masing-masing bernilai RM29.94 juta dan -RM4.24 juta.

 

“Pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari, pada minggu lalu kecuali hari Jumaat. Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Khamis dengan aliran keluar terendah pada Selasa, masing-masing bernilai -RM199.46 juta dan -RM23.02 juta. 

 

“Sementara itu, pembelian bersih pada hari Jumaat pula berjumlah RM28.52 juta,” ujar MIDF lanjut.

 

Sejak awal tahun 2021, hanya pelabur runcit yang menjadi pembeli bersih pasaran ekuiti Malaysia berjumlah RM8.52 bilion. 

 

Pelabur institusi tempatan dan asing pula merupakan penjual bersih, masing-masing berjumlah -RM3.88 bilion dan -RM4.64 bilion. - DagangNews.com