Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Pelabur yang panik susulan pengisytiharaan darurat dan perintah kawalan pergerakan membelenggu keseluruhan pergerakan bursa tempatan dalam dagangan hari ini.
Ini menyebabkan indeks FBM KLCI susut sehingga 11.77 mata dalam sesi awal apabila pasaran ditutup dalam dagangan tengah hari.
Bagaimanapun, pasaran yang mengakhiri sesi petang ini hanya menyaksikan penyusutan kecil pada 5.21 mata untuk ditutup kepada 1,612 mata.
"Tindak balas mendadak dalam pasaran dan jualan panik dalam kalangan pelabur sememangnya tidak dapat dielakkan.
"Jika melainkan pelabur lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan berisiko tetapi dalam tempoh sederhana sentimen akan kembali seperti biasa," jelas Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada DagangNews.com.
Mengakhiri dagangan hari ini, bursa tempatan menyaksikan 8.41 bilion saham diniagakan bernilai RM5.76 bilion.
Dalam pasaran lebih meluas, keseluruhan pasaran adalah positif, apabila kaunter untung mengatasi rugi pada 732 berbanding 502 manakala 421 kaunter tidak berubah.
Dari segi ekonomi, beliau berkata, pengeluaran mengalami kerugian pada suku pertama 2021 yang lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, kerana PKP hanya dikuatkuasakan di 6 negeri.
Malah, kerajaan juga memberi jaminan sektor perkilangan, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta pertanian dan perladangan merangkumi sektor penting boleh beroperasi mengikut SOP.
"Walaupun PKP mungkin dilanjutkan lebih daripada 2 minggu, kami melihat pengeluaran tidak mungkin mengalami kerugian yang teruk seperti mana tahun lalu.
"Tambahan pula, pengguna dan perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu, justeru, kesannya kepada ekonomi tidaklah seburuk PKP 1.0," katanya. - DagangNews.com