Pelaburan korporat menerusi UOBAM Invest meningkat 330% | DagangNews Skip to main content

Pelaburan korporat menerusi UOBAM Invest meningkat 330%

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - UOB Asset Management Ltd (UOBAM) melihat pelaburan korporat dalam talian semakin melonjak, dengan jumlah pengguna di Malaysia, Singapura dan Thailand di portal pelaburan digitalnya untuk pelabur korporat, UOBAM Invest, meningkat 330% sepanjang tempoh 18 bulan.

 

Jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) di portal dalam talian tersebut juga melebihi RM3 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM, Thio Boon Kiat berkata, pertumbuhan dari segi pengguna dan juga AUM adalah bukti komitmen mereka dalam memenuhi keperluan pelabur dan turut merancang untuk melancarkan UOBAM Invest secara progresif di lebih banyak lagi pasaran.

 

"Bersandarkan pemahaman kukuh kami mengenai pelabur di seluruh rantau ini, kami membangunkan portal digital ini untuk membantu pelabur korporat menguruskan pelaburan budi bicara mereka dengan mudah, pintar dan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tend peningkatan untuk portal dalam talian UOBAM Invest menunjukkan permintaan semakin bertambah daripada pelabur korporat untuk penyelesaian digital lebih baik yang menawarkan akses sepanjang hari serta fleksibiliti untuk membuat perubahan dalam masa nyata ke atas pelaburan dan portfolio peribadi mereka. 

 

Penasihat Digital (Digital Adviser) UOBAM Invest, yang merupakan perkhidmatan penasihat robo pertama khusus untuk pelabur korporat di Singapura dan Malaysia, menampilkan perancang portfolio berasaskan algoritma yang membolehkan pengguna melabur dalam portfolio dana UOBAM yang disesuaikan dan juga dana dagangan bursa (ETF) global. 

 

Pelabur korporat juga boleh memilih perkhidmatan Dana Langsung untuk membina dan menguruskan portfolio dana mereka sendiri.

 

Lebih kurang tiga dalam lima pengguna UOBAM Invest merupakan pelanggan baharu Kumpulan UOB.

 

Sebilangan besar pengguna terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang meraih manfaat digitalisasi dalam semua aspek operasi mereka. 

 

Melalui UOBAM Invest, semua syarikat ini mempunyai akses langsung serta kawalan lebih besar ke atas pelaburan budi bicara dalam talian, dengan itu, membolehkan mereka mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan kecairan dengan lebih berkesan. 

 

UOB juga membantu syarikat Malaysia mendigitalkan perniagaan mereka dalam bidang lain seperti pengurusan akaun kewangan harian melalui UOB Business Internet Banking Plus serta proses pentadbiran dan pengurusan e-dagang melalui UOB SmartBusiness.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia), Lim Suet Ling berkata, melalui UOBAM Invest, pelabur korporat di Malaysia dapat mengakses portfolio yang disesuaikan berdasarkan selera risiko dan matlamat pelaburan mereka. 

 

"Pertumbuhan kukuh dalam AUM untuk dana bon kami pada separuh pertama tahun ini juga menunjukkan bagaimana pelabur boleh menggunakan portal dalam talian dengan mudah untuk mengoptimumkan pulangan mereka dalam pelbagai keadaan pasaran," katanya.

 

Bilangan transaksi yang dilakukan dalam portal dalam talian UOBAM Invest pada tahun ini telah melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi 2020.

 

Berikutan persekitaran kadar faedah yang rendah di negara, UOBAM melihat permintaan kukuh daripada pelabur korporat untuk dana bon, termasuk dana bon Islam, yang menawarkan pulangan yang stabil.

 

Sehingga 30 Jun 2021, dana bon, seperti United-i High Quality Sukuk Fund dan United Conservative Bond Fund, mempunyai jumlah AUM lebih daripada RM200 juta di UOBAM Invest, pertumbuhan sebanyak 66% tahun ini. - DagangNews.com