Pelajar USIM perkenal Projek Papan Permainan Misi Bandar Lestari untuk bentuk pemahaman tentang alam sekitar kepada generasi muda | DagangNews Skip to main content

Pelajar USIM perkenal Projek Papan Permainan Misi Bandar Lestari untuk bentuk pemahaman tentang alam sekitar kepada generasi muda

KUALA LUMPUR 16 Jun - Para pelajar dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Projek Papan Permainan Misi Bandar Lestari yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tasik Jaya di Seremban, Negeri Sembilan.

 

Penganjur dalam kenyataan berkata, program yang dijalankan sempena Karnival ExploreSTREAM USIM-STAJA itu direka khas para pelajar tahun 3 Sarjana Muda Undang-Undang fakulti berkenaan bagi memenuhi keperluan pelajar sekolah rendah dalam membentuk kesedaran dan pemahaman terhadap alam sekitar. 

 

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk menerapkan kesedaran tentang undang-undang alam sekitar serta memperkenalkan perspektif Islam terhadap alam sekitar kepada para pelajar.

 

"Dalam menjalankan projek ini, pelajar-pelajar diajar untuk memahami prinsip-prinsip dan matlamat pembangunan mampan 2030. Melalui papan permainan ini, pelajar dapat menghayati serta memahami konsep-konsep tersebut secara interaktif dan menyeronokkan.

 

"Papan permainan yang dibina ini menampilkan elemen-elemen yang berkaitan dengan ciri-ciri bandar lestari seperti pengurusan sisa pepejal, kitar semula dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

"Setiap peringkat permainan memberikan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari dan menjawab soalan-soalan berkaitan dengan alam sekitar dan pembangunan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, pelajar-pelajar terbabit mendapat pengalaman melibatkan diri dalam penyediaan bahan pembelajaran berkaitan alam sekitar, yang mana mereka menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai isu-isu alam sekitar semasa dan mengumpulkan maklumat yang relevan untuk digunakan dalam projek ini. 

 

 

usim

 

 

usim

 

 

Selain memberikan manfaat kepada para pelajar, Projek Papan Permainan Misi Bandar Lestari juga memberi kesan positif kepada komuniti setempat. 

 

"Dengan melibatkan sekolah dan orang ramai kesedaran tentang alam sekitar dan pembangunan mampan dapat disebarkan secara lebih meluas. 

 

 

USIM

 

 

"Ia juga memberikan ruang kepada masyarakat untuk memahami bahawa setiap individu perlu mengambil tanggungjawab dalam menjaga dan melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang," katanya.

 

Selain itu, para guru dan pentadbir sekolah yang memberikan sokongan tinggi kepada projek ini mengakui bahawa Misi Bandar Lestari adalah satu langkah penting dalam melengkapkan para pelajar dengan pengetahuan serta kesedaran berkaitan dengan alam sekitar dan pembangunan mampan. 

 

"Projek seperti ini penting untuk menanamkan nilai-nilai kelestarian dan kepentingan menjaga alam sekitar dalam kalangan generasi muda," katanya. - DagangNews.com