Pelaksanaan 5G di Asia Pasifik mungkin tidak serentak | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan 5G di Asia Pasifik mungkin tidak serentak

5G

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kadar pelaksanaan perkhidmatan mudah alih generasi kelima (5G) di Asia Pasifik dijangka tidak berlaku secara serentak.

 

Moody’s dalam satu kenyataan berkata, hingga kini sebanyak empat perintis pasaran sedang mengukuhkan perniagaan masing-masing.

 

"Korea Selatan, China, Australia dan Jepun menerajui industri dengan pendapatan yang lebih tinggi dan kadar penembusan 5G yang meluas di negara terbabit.

 

"Hong Kong berkemungkinan mempunyai kadar pelaksanaan 5G tertinggi dalam kalangan negara pelaksana awal di rantau ini termasuk Malaysia, Filipina dan Singapura," jelasnya beliau seperti dilapor Bernama.

 

Sementara itu, Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Investors Service, Nidhi Dhruv berkata, pelancaran perkhidmatan 5G bakal menjana pendapatan bagi pengendali dalam pasaran perintis bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

 

Bagaimanapun, potensi peningkatan margin akan mengambil masa disebabkan kos pemasaran yang tinggi dan keperluan untuk mencapai pelanggan 5G sekali gus dapat menampung kos tetap infrastruktur capaian berkenaan.

 

Katanya, pelaburan dalam 5G yang berterusan akan melemahkan aliran tunai dan tahap kadar hutang pelaksana awal.

 

"Hasil jangka pendek daripada 5G tidak begitu diberi perhatian oleh pasaran pelaksana lewat seperti Bangladesh, India dan Indonesia memandangkan mereka akan lebih menumpu kepada meningkatkan kapasiti rangkaian 4G.

 

“Pelaksana lewat mungkin memerlukan sokongan kerajaan memandangkan pandemik coronavirus telah melewatkan pelancaran perkhidmatan 5G di pasaran ini," katanya lagi. - DagangNews.com