Pelan mampu milik tidak jejaskan telco, penganalisis kekal saranan 'overweight' | DagangNews Skip to main content

Pelan mampu milik tidak jejaskan telco, penganalisis kekal saranan 'overweight'

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pengumuman Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menawarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia pada harga berpatutan dilihat tidak menjejaskan kos operasi syarikat telekomunikasi dan mudah alih di negara ini. 

 

Ini membolehkan AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor telekomunikasi dengan saranan 'beli' bagi saham Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan 'pegang' terhadap Maxis Bhd. 

 

"Memandangkan pihak kementerian tidak mendedahkan senarai syarikat telco terlibat, tetapi kami menjangkakan pengendali mudah alih akan mula mengumumkan tawaran mereka tidak lama lagi. 

 

"Namun begitu, kami tidak menjangkakan skim baharu ini akan meningkatkan perbelanjaan operasi mereka memandangkan pelan mampu milik adalah peluang untuk mendapatkan kos pendapatan lebih tinggi yang dijamin di bawah pelan asal syarikat pengendali mudah alih," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Mudah Alih, Tan Sri Annuar Musa berkata, 2 pakej mampu milik itu adalah hasil kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi membantu rakyat dalam jangka masa pendek.

 

Tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober 2021 hingga 15 April 2022 selama 6 bulan.

 

Pakej Remaja Keluarga Malaysia, adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.

 

Dengan hanya RM10 sebulan, iaitu dibayar untuk 3 bulan/RM30, mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga bulan.

 

Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma.

 

Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.

 

Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga 2 pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama.

 

AmInvestment Bank juga menjangkakan tiada impak signifikan ke atas purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) atau trajektori pendapatan syarikat pengendali mudah alih memandangkan keseluruhan 20GB data dalam tempoh 3 bulan dapat digunakan dengan mudah apabila Digi menunjukkan penggunaan data secara purata bagi suku kedua 2021 sekurang-kurangnya 3 kali lebih tinggi pada 21GB sebulan.

 

"Pada masa sama, tempoh pakej ini yang akan berakhir April tahun depan manakala pengguna dengan penggunaan data lebih tinggi boleh menaik taraf ke pelan dengan harga tinggi apabila mencapai kuota mereka. 

 

"Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan syarikat pengendali mudah alih setakat ini," katanya. 

 

Sementara itu, firma itu berkata, inisiatif kerajaan menerusi MyDigital membuat pelaburan RM15 bilion bagi tempoh lebih 10 tahun menerusi Digital Nasional Bhd. (DNB) yang akan memiliki, melaksanakan dan menguruskan spektrum dan infrastruktur 5G di negara ini.

 

"Ini diharapkan dapat membolehkan syarikat telco berlesen mempunyai akses yang setara kepada infrastruktur perkhidmatan pelancaran 5G, dijangka bermula secara berperingkat akhir tahun ini. 

 

"Sehubungan itu, kami melihat pengendali mudah alih tidak akan terbeban dengan perbelanjaan modal bagi 5G. 

 

"Bagaimanapun, sebagai pemilik rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara, kami percaya ia positif kepada TM dan sebaliknya bagi Time dotCom, dalam menyediakan sistem penting kepada rangkaian 5G," jelasnya. - DagangNews.com