Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Dis - Langkah Supermax Corp. Bhd. membina kemudahan pengeluaran pertama di Amerika Syarikat (AS) dilihat kurang bertepatan dengan situasi tidak menentu ketika ini.
Malah, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu disifatkan terlalu bercita-cita besar dengan mengambil kira sektor tersebut yang berdepan situasi lebihan bekalan, persaingan daripada pemain China dan penurunan harga jualan purata (ASP).
MIDF Research berkata, walaupun AS merupakan penyumbang utama kumpulan, tetapi pelan pengembangan yang dilaksanakan ketika ini boleh memburukkan lagi ketidakseimbangan permintaan bekalan dan mengakibatkan ASP yang lebih rendah, sekali gus menjejaskan keuntungan Supermax.
Katanya, langkah itu adalah tidak mampan dan boleh menyebabkan kadar penggunaan kumpulan yang lebih rendah pada masa akan datang.
"Kami berpendapat, kumpulan perlu melaksanakan strategi lain seperti pengambilalihan, dan bukannya hanya bergantung kepada pelan pengembangan secara organik jika mahu menenuhi sasaran mencapai sekurang-kurangnya 10% dan 15% import tahunan sarung tangan getah perubatan ke AS dalam tempoh 2 hingga 4 tahun, manakala 20% dan 25% daripada permintaan negara itu untuk tempoh 4 hingga 6 tahun.
"Sebaliknya, jika apa-apa berlaku, ia akan terus menjejaskan ASP, apabila kemudahan ini beroperasi kelak," katanya dalam nota kajian hari ini.
Namun, firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Supermax, sebaliknya menyemak semula harga sasaran (TP) lebih rendah kepada RM1.48 daripada RM1.67 sebelum ini
Baca : Supermax bina kilang pengeluaran pertama di AS, labur AS$350 juta untuk Fasa 1
Pada Jumaat, Supermax mengumumkan untuk melabur sebanyak AS$350 juta bagi membangunkan fasa pertama kemudahan pengeluaran di AS, yang akan menjadi kilang pengeluarannya yang ke-18 di seluruh dunia dan pertama di negara tersebut.
Pembinaan fasa pertama akan bermula suku pertama 2022 dan dijangka memulakan pengeluaran pada suku keempat tahun hadapan.
Kemudahan pengeluaran yang mempunyai 4 fasa itu dijangka mengeluarkan 400 juta sarung tangan getah setiap bulan bagi setiap fasa.
Apabila kesemua fasa itu selesai, kapasiti pengeluaran akan meningkat sehingga 1.6 bilion sarung tangan getah setiap bulan, atau 19.2 bilion setahun.
Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon menyatakan kebimbangannya mengenai risiko pelaksanaan dan situasi lebihan bekalan dalam tempoh jangka pendek disebabkan pelan pengembangan dalam kalangan pemain baharu dan sedia ada.
Ini kerana menurutnya, dalam beberapa suku akan datang, kumpulan dijangka menghadapi persekitaran operasi yang sukar akibat penurunan ASP dan normalisasi margin termasuk potensi kehilangan hasil di AS.
Selain itu, katanya, Supermax turut berdepan dengan perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS yang mengenalpasti 11 petunjuk Organisasi Pekerja Buruh Antarabangsa (ILO) bagi penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluarannya.
"Oleh itu, kami menyemak turun untung bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 38% memandangkan kami mengurangkan margin pendapatan sebelum faedah, margin cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 19% daripada 29%, ASP pula disemak kepada AS$27 berbanding AS$28 sebelum ini dan kadar penggunaan daripada 80% kepada 74%.
"Meskipun kami mengekalkan penarafan 'market perform' tetapi TP disemak rendah kepada RM1.45 daripada RM1.95 sebelum ini.
"Nisbah harga kepada pendapatan (PER) adalah lebih rendah daripada norma biasa disebabkan risiko pelaksaaan ekoran pelan pengembangan di AS," katanya.
Setakat 10.31 pagi ini, saham Supermax berada dalam kalangan kaunter paling aktif, menokok 2 sen atau 1.41% kepada RM1.44 dengan 22.79 juta saham diniagakan. -DagangNews.com