Pelancaran 9 produk baharu, AmInvestment ramal trajektori hasil Apex Healthcare kekal stabil | DagangNews Skip to main content

Pelancaran 9 produk baharu, AmInvestment ramal trajektori hasil Apex Healthcare kekal stabil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - AmInvestment Bank Research meramalkan trajektori hasil 2HFY24 Apex Healthcare Bhd kekal stabil selepas kumpulan itu melancarkan sembilan produk baharu dalam probiotik, ubat berkaitan perut, krim kulit, hidung dan tekak. 

 

Katanya, bagi jangka panjang, pihak pengurusan menjangkakan peningkatan skala ekonomi daripada pemerolehan RM67 juta pejabat dan gudang perindustrian Cheng 2 bulan lepas yang boleh mengurangkan caj sewa sambil mengembangkan kapasiti untuk barisan produk sedia ada kumpulan.

 

"Kami mengekalkan unjuran hasil kumpulan itu berkembang antara 7% hingga 7.3% bagi FY24 hingga FY26," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan pada 2QFY24 menyusut lebih 92% kepada RM23.64 juta berbanding RM329.5 bagi tempoh ama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan itu merosot dengan ketara walaupun hasil meningkat 11.02% kepada RM238.74 juta daripada RM215.03 juta, di tengah-tengah jualan kukuh bagi produk farmaseutikal, produk penjagaan kesihatan pengguna dan peranti perubatan kepada pelanggan sektor swasta dan awam.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan penurunan 99.68% dalam sumbangan pendapatan daripada Straits Apex Group, jatuh kepada RM1 juta daripada RM310.9 juta setahun lalu.

 

Penurunan mendadak itu disebabkan oleh ketiadaan keuntungan tidak berulang sebanyak RM304.4 juta daripada penjualan SAG sebanyak 60% kepentingan dalam Straits Apex Sdn Bhd (SA) kepada Quadria Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan teras kumpulan itu pada 2QFY24 meningkat sebanyak 19% walaupun penurunan hasil sederhana sebanyak 3.8% disebabkan oleh peningkatan margin kasar kepada 23.5%, sebahagian besarnya didorong oleh segmen pembuatan yang berdaya tahan, ditambah dengan pengurangan 7% dalam perbelanjaan penjualan & pentadbiran .

 

Mereka turut menaikkan ramalan pendapatan FY24 hingga FY2 antara 5% hingga 7% disebabkan oleh peningkatan 2% mata dalam andaian margin pembuatan kerana keuntungan bersih teras 1HFY24 sebanyak RM44 juta melebihi jangkaan, menyumbang 53% daripada ramalan tahun penuh.

 

"Kami menaikkan penarafan kepada 'beli' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran RM3.12 sesaham," katanya.- DagangNews.com