Pelancaran ekosistem perniagaan dipacu data pertama seumpamanya, kerjasama percepat pertumbuhan PKS antara SME Malaysia dan Fusionex | DagangNews Skip to main content

Pelancaran ekosistem perniagaan dipacu data pertama seumpamanya, kerjasama percepat pertumbuhan PKS antara SME Malaysia dan Fusionex

Dari kiri, Dato' Seri Ivan Teh, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ding Hong Sing melakukan gimik pelancaran Hab Pemudahcara Perniagaan PKS di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Okt – SME Malaysia memperkenalkan sebuah ekosistem perniagaan dipacu data, iaitu Hab Pemudahcara Perniagaan PKS yang merupakan sebuah platform maya yang pertama seumpamanya, bertujuan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia memaksimumkan potensi perniagaan mereka dan melengkapkan mereka dengan teknologi rumusan termaju bagi mengatasi cabaran perniagaan serta kekangan operasi.

 

Menyedari keperluan segera untuk menyokong PKS tempatan berikutan peningkatan persaingan, perubahan permintaan pasaran dan kerumitan perdagangan global, SME Malaysia berhasrat untuk mempercepat proses pendigitalan oleh perniagaan tempatan melalui pengenalan platform maya ini.

 

Inisiatif ini adalah selaras dengan misi mereka untuk memperkasa PKS tempatan sebagai kuasa ekonomi Malaysia.

 

Presiden SME Malaysia Kebangsaan, Ding Hong Sing berkata, transformasi digital kini menjadi lebih penting berbanding tempoh terdahulu.

 

Menurut beliau, ia merupakan komponen penting untuk membolehkan PKS mengoptimumkan perniagaan mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


 

Ding Hong Sing
                              Ding Hong Sing

 


"Dengan kerjasama bersama Fusionex yang berperanan sebagai peneraju dalam inovasi sains data, ia akan menyelaraskan operasi dan menyelesaikan cabaran industri untuk memacu pertumbuhan eksponen kepada ahli kami.

 

"Kami akan terus memperkukuh suara dan platform sedia ada untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menerima pakai teknologi dan meraih semua faedah yang ditawarkan,” ujar beliau.

 

Dikuasakan oleh teknologi Fusionex, Hab Pemudahcara Perniagaan PKS menawarkan satu set penyelesaian inovatif untuk memperkasa SME Malaysia dan ahlinya untuk menganjurkan acara secara hibrid dan mempamerkan tawaran mereka di kedua-dua dunia fizikal dan maya.

 

Platform ini akan menyediakan ruang untuk rangkaian dan peluang penglibatan SME di dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) antaranya seperti sesi padanan perniagaan, business pitch, webinar dan persidangan yang dikuasakan AI.

 

Gabungan kukuh antara teknologi analisis data raya dan AI membolehkan pengguna platform ini memantau, mengukur dan mengurus hasil jualan, interaksi dalam talian dan analisis trend, agar keputusan perniagaan dapat dilakukan berpandukan maklumat yang dipacu oleh data.


 

Dato' Seri Ivan Teh
                                     Dato' Seri Ivan Teh

 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex, Dato' Seri Ivan Teh berkata, pihaknya gembira dan berbesar hati menjadi rakan teknologi SME Malaysia dalam perjalanan mereka untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang kolaboratif, mampan dan inklusif bagi pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi masa hadapan.

 

Hab Pemudahcara Perniagaan PKS akan bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepat transformasi digital kepada PKS Malaysia, yang akan membolehkan mereka memenuhi permintaan pasaran, meluaskan jangkauan perniagaan dan meningkatkan peluang pendapatan.

 

"Kami berharap kerjasama ini akan membantu SME Malaysia dan ahlinya untuk memanfaatkan sepenuhnya pendigitalan, berkembang maju dalam ekonomi digital, dan menjadi peneraju industri masa depan.

 

"Selain itu, PKS yang menjadi ahli platform ini akan boleh berhubung, bersemuka dan bekerjasama dengan Platform Perdagangan Digital MATRADE untuk mendapat manfaat daripada peluang eksport yang disediakan oleh MATRADE yang menghubungkan mereka dengan pembeli dan rakan kongsi di peringkat global," kata beliau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, sebagai agensi promosi perdagangan nasional, MATRADE komited untuk mempromosikan eksport Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan melibatkan diri dengan peralatan digital yang menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat Malaysia, khususnya PKS.


 

Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz
                           Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz

 


Oleh itu kata beliau, Platform Perdagangan Digital MATRADE (MDTP) merupakan satu lagi usaha yang dibangunkan untuk pengeksport Malaysia untuk beralih ke ruang digital. Pendigitalan adalah salah satu agenda eksport penting kepada MATRADE di samping kemampanan dan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp). 

 

“Hab Pemudahcara Perniagaan PKS akan membuka pintu kepada lebih banyak kemungkinan dalam meningkatkan perdagangan melalui pendigitalan dan mempergiat penggunaan teknologi yang akan memudahkan eksport.”

 

“MATRADE akan mewujudkan kerjasama kukuh dengan rakan strategik untuk membina ruang yang lebih mampan dalam melaksanakan mandatnya termasuklah melalui perkongsian awam swasta (PPP) bagi memperkasa syarikat tempatan untuk meneroka pasaran global,” kata Datuk Mohd Mustafa.

 

Sila layari https://smemalaysia.v-circle.com/ untuk maklumat lanjut tentang Hab Pemudahcara Perniagaan PKS. - DagangNews.com