Pelancongan domestik Malaysia melonjak 20% kepada 54.5 juta bagi suku kedua 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Pelancongan domestik Malaysia melonjak 20% kepada 54.5 juta bagi suku kedua 2023 – DOSM

Resort Pulau Lato Lato di Semporna, Sabah merupakan tarikan pelancongan yang semakin dikenali di Malaysia. - Gambar hiasan
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Sept - Pelancongan domestik di Malaysia mencatatkan sejumlah 54.5 juta pelawat domestik bagi suku kedua 2023, melonjak 20% berbanding suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Bagi perbandingan suku ke suku, pelawat domestik meningkat 12.2% berbanding suku pertama 2023.

 

Sementara itu, perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM21.9 bilion pada suku kedua 2023, meningkat 23.9% tahun ke tahun, dan 13.9% suku ke suku.

 

Selari dengan prestasi pelancongan domestik Malaysia, DOSM berkata semua negeri merekodkan peningkatan dari segi volum dan jumlah terimaan selepas pandemik COVID-19.

 

Pada tahun 2022, Selangor merekodkan terimaan pelancong domestik tertinggi dengan RM8.73 bilion, meningkat 176.5 % berbanding 2021 (RM3.16 bilion), diikuti Kuala Lumpur (RM7.73 bilion), Sarawak (RM5.43 bilion) dan Pahang (2022: RM5.32 bilion).

 

“Aktiviti membeli-belah merupakan komponen terbesar daripada jumlah terimaan (RM24.94 bilion) bagi semua negeri, di mana Selangor mendominasi dengan RM3.85 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM3.71 bilion) dan Sarawak (RM2.33 bilion).

 

 

dosm

 

 

“Komponen kedua tertinggi ialah makanan dan minuman (bagi sepuluh negeri), diikuti pembelian bahan api kenderaan (bagi lima negeri) dan pengangkutan (bagi Labuan),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Penerangan lanjut berkaitan tujuan utama perjalanan bermalam domestik, melawat saudara dan rakan-rakan adalah tujuan utama perjalanan bermalam domestik untuk semua negeri kecuali Pulau Pinang dan Labuan.

 

Bagi Pulau Pinang dan Labuan, percutian adalah tujuan utama pelancong domestik melancong ke kedua-dua negeri tersebut.

 

Berdasarkan profil sosial dan demografi pelawat domestik, sembilan negeri iaitu Johor, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya menerima majoriti pelawat domestik berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan.

 

“Sementara itu, baki lima negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak mencatatkan peratusan tertinggi pelawat domestik daripada isi rumah berpendapatan RM1,001 hingga RM3,000 sebulan dan Pulau Pinang (RM3,001 hingga RM5,000,” tambahnya. - DagangNews.com