Pelanggan Bank Islam boleh mohon bantuan bayaran balik mulai 23 November ini | DagangNews Skip to main content

Pelanggan Bank Islam boleh mohon bantuan bayaran balik mulai 23 November ini

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Bank Islam Malaysia Berhad menggesa para pelanggan untuk tampil mendapatkan sokongan yang diperlukan di bawah Bantuan Pembayaran Balik Bersasar. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menyedari COVID-19 memberi impak yang berbeza kepada masyarakat dan menghubungi para pelanggan secara konsisten bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik. 

Katnya, dari sudut ekonomi, penambahbaikan kepada bantuan bayaran balik bersasar ini memberi kesan positif terhadap keyakinan perniagaan dan pengguna. 

"Sungguhpun Bank Islam sentiasa bersedia untuk membantu permohonan bantuan yang diterima, namun pelanggan harus sentiasa menilai kedudukan kewangan masing-masing. 

"Kami menggesa para pelanggan untuk tampil mendapatkan sokongan yang diperlukan. Bank Islam akan terus membantu mereka membuat keputusan dan menyediakan pilihan kewangan terbaik bagi membantu mereka mengatasi cabaran yang dialami," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Muazzam Mohamed
Mohd. Muazzam Mohamed

 

Dalam Belanjawan 2021, Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan penambahbaikan terhadap Bantuan Pembayaran Balik Bersasar bagi membantu golongan terjejas, khususnya kumpulan B40, M40 dan perusahaan mikro. 

Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar kini meliputi individu kategori B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corporation dan mempunyai kemudahan pembiayaan dengan jumlah kelulusan sehingga RM150,000. 

Pelanggan daripada kedua-dua kategori ini boleh memohon untuk menangguh bayaran ansuran bulanan pembiayaan mereka selama 3 bulan atau mengurangkan 50% daripada komitmen bulanan untuk tempoh 6 bulan. 

Pilihan ini disediakan untuk semua pembiayaan yang telah diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak mempunyai sebarang tunggakan pembayaran lebih daripada 90 hari pada masa permohonan.

Bank Islam sedang memperhalusi proses terlibat bagi memastikan pelaksanaan cekap bantuan ini demi kemudahan para pelanggan. 

Maklumat lanjut berkenaan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar akan dikemas kini di laman web
dan platform media sosial Bank Islam tidak lama lagi. 

Namun, pelanggan boleh mula memohon bantuan ini bermula dari 23 November 2020. 

Pelanggan B40 dan perusahaan mikro yang sebelum ini menerima sebarang bantuan bayaran balik bersasar, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah-langkah tambahan yang diumumkan pada Jumaat lalu masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak Bank Islam.

Turut ditawarkan, pengurangan pembayaran ansuran bulanan bagi kategori M40 yang berdaftar di dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan mengalami pengurangan pendapatan diri atau pendapatan isi rumah disebabkan pandemik ini. 

Pelanggan yang terkesan perlu membuat pengisytiharan kendiri berkenaan pengurangan pendapatan yang dialami bagi melayakkan mereka menerima kemudahan ini. - DagangNews.com