KUALA LUMPUR 4 Feb – Rungutan pelanggan mengenai akaun CIMB mereka dibekukan tanpa sebab munasabah masih berlarutan, mendorong sebilangan membuat laporan polis.
Pada 5 Februari, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dijadualkan menyerahkan memorandum aduan orang ramai kepada pengurusan CIMB, selain membuat laporan rasmi polis.
Seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Hida berkata, akaun bank beliau turut dibekukan, berkemungkinan disebabkan akaunnya tergolong dalam perdagangan mata wang kripto.
Di Malaysia kata beliau, hanya CIMB sahaja yang menyediakan kemudahan yang membolehkan perdagangan atau mata wang kripto masuk ke negara ini.
‘’Sekarang CIMB mendakwa wujud duplikasi transaksi, sedangkan tidak ada dan kini kita pula yang berhutang duit kepada CIMB.
‘’Ada yang sudah bertemu dengan pegawai CIMB tetapi apa yang ditawarkan berbentuk `pembayaran balik pinjaman’.
‘’Tetapi ia tidak pernah berbentuk suatu pinjaman dan apa sahaja yang kami dagangkan adalah menggunakan duit kami sendiri,’’ katanya dalam satu pernyataan.
Pada 31 Januari lalu, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan telah menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.
Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.
"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara mendadak.
Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.
Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.
BERITA BERKAITAN: Sebahagian pelanggan serang facebook CIMB kerana akaun dibekukan
Dalam laporan media yang memetik metizen di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB telah dibekukan sejak minggu lalu dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau rapi langkah yang diambil oleh CIMB Bank Bhd (CIMB) untuk mendapatkan semula lebihan amaun yang dikreditkan kepada pelanggan mereka.
Pengawal selia sistem perbankan negara itu berkata, siasatan tentang insiden ini sedang dijalankan dan ia akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya, jika perlu. - DagangNews.com