Pelantikan Ismail Sabri redakan kebimbangan pelabur, KLCI teruskan lonjakan | DagangNews Skip to main content

Pelantikan Ismail Sabri redakan kebimbangan pelabur, KLCI teruskan lonjakan

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pasaran saham tempatan terus menyambung lonjakan pada penutupan Jumaat lalu dipacu oleh kemelut politik yang kembali reda dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

 

Indeks utama, FBM KLCI memulakan dagangan 1.96 lebih tinggi kepada 1,519.99 daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,518.03. 

 

Pagi ini, kaunter untung juga lebih jauh mengatasi kaunter rugi, dengan perbandingan 252 daripada 73, sementara 222 kaunter lagi tidak berubah dan 1660 tidak didagangkan. 

 

Malah, hanya sektor penjagaan kesihatan yang mempengaruhi pergerakan negatif dalam FBM KLCI, manakala sektor teknologi menjadi pemacu utama kepada kenaikan pasaran, menurut malaysiastock.biz. 

 

Buat hari ini, Rakuten Trade Research menjangkakan indeks utama itu akan terus mengukuh dan berlegar dalam jajaran 1,515 hingga 1,525. 

 

“Untuk bursa tempatan, FBM KLCI menyaksikan lonjakan kecil ekoran kemelut politik mereda. 

 

“Memandangkan pentadbiran baharu akan menjadikan COVID-19 sebagai tumpuan utama mereka, kami mengharapkan kes harian akan menjadi lebih terkawal dengan tumpuan diberikan untuk terus melonggarkan ‘lockdown’ terhadap ekonomi. 

 

“Sementara itu, kami mendapati bahawa perolehan yang dicatatkan syarikat tersenarai dilihat kukuh bagi suku tahun kedua, setakat ini,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Di kaunter paling rancak diniagakan, saham Advance Synergy Berhad terus mendahuluinya, bagaimanapun ia memulakan dagangan 3 sen lebih rendah untuk dibuka pada paras 16. 

 

Ini diikuti oleh saham Impiana Hotels Berhad yang turut menyusut 1.5 sen kepada 6.5 sen setakat 9.21 pagi. 

 

Beralih kepada kaunter paling rugi, salah satu saham syarikat sarung tangan terbesar, Kossan Rubber Industries Berhad tersungkur pada awal dagangan dengan penyusutan 6 sen kepada RM3.10. 

 

Selain Kossan, saham APM Automotive Holdings Berhad dibuka 5 sen lebih rendah kepada RM2.22. 

 

Saham Sam Engineering & Equipment (M) Berhad sebaliknya mencatatkan lonjakan harga saham terbesar apabila dibuka 96 sen lebih tinggi kepada RM12.96. 

 

Ini diikuti oleh saham BP Plastics Holding Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad, Riverview Rubber Estates Berhad, Genetec Technology Berhad dan Unisem (M) Berhad.

 

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu. - DagangNews.com